Skip to main content

Dunia

Israel perluas sekatan, dirikan pos kawalan baharu di selatan Lubnan

71747823682_tblubnanisrael.jpg
Selain pos kawalan fizikal, tentera Israel turut mewujudkan zon sekatan yang dikenali sebagai "Garis Kuning" (Yellow Line), yang merentasi kawasan kira-kira 10 kilometer ke dalam wilayah selatan Lubnan. -Gambar fail

BEIRUT: Tentera Israel dilapor mula mendirikan beberapa pos kawalan baharu di sebahagian wilayah selatan Lubnan, dalam langkah yang disifatkan menyerupai sistem sekatan pergerakan yang dilaksanakan di Tebing Barat yang diduduki.

Langkah itu menyaksikan satu rangka kawalan keselamatan baharu dikuatkuasakan secara unilateral yang didakwa mengehadkan pergerakan harian penduduk awam di kawasan berkenaan, lapor Al Jazeera.

Selain pos kawalan fizikal, tentera Israel turut mewujudkan zon sekatan yang dikenali sebagai "Garis Kuning" (Yellow Line), yang merentasi kawasan kira-kira 10 kilometer ke dalam wilayah selatan Lubnan.

Zon sekatan baharu itu disifatkan menyerupai pendekatan yang pernah digunakan Israel menerusi kawasan penampan keselamatan di Gaza.

Kewujudan Garis Kuning itu turut menyaksikan sekatan kemasukan dikenakan terhadap pelbagai pihak, termasuk media antarabangsa dan pasukan pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menurut laporan media tempatan.

Beberapa kediaman penduduk juga dilapor diroboh menggunakan jentolak tentera di kawasan berhampiran zon berkenaan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

Pihak berkuasa dan tentera Lubnan menyifatkan pembinaan pos kawalan tanpa kebenaran itu sebagai usaha memperluas kawalan Israel di kawasan selatan negara tersebut, termasuk di sepanjang Sungai Litani.

Mereka turut menuduh Israel mensabotaj pelaksanaan kerangka keselamatan yang diusahakan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, pihak Israel menegaskan langkah itu merupakan sebahagian daripada keperluan keselamatan sementara dan operasi pembersihan infrastruktur yang dianggap mengancam keselamatan rejim itu, selain bertujuan menghalang penyusupan semula pejuang Hezbollah ke utara Israel.

Must Watch Video

Advertisement