BAITULMUQADDIS: Tentera Israel mendakwa telah menawan Istana Beaufort (Qalaat al‑Shaqif), sebuah kubu strategik di selatan Lubnan.
Menurut laporan Reuters dan Associated Press (AP), dakwaan itu menyusul selepas Perbadanan Penyiaran Israel (Kan) menyiarkan imej bendera Israel dan panji Briged Golani dikibarkan di puncak kubu berkenaan, yang terletak kira-kira 15 kilometer dari sempadan kedua-dua negara.
לראשונה מאז הנסיגה מלבנון: דגלי ישראל וגולני ניצבים בראש רכס הבופור @ItayBlumental @rubih67 pic.twitter.com/HMIbuPcHyf
— כאן חדשות (@kann_news) May 31, 2026
Menteri Pertahanan Israel Israel Katz mengesahkan operasi tersebut dengan memaklumkan bahawa gerakan ketenteraan berkenaan sebelum ini diletakkan di bawah sekatan maklumat.
“Di bawah arahan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, tentera telah memperluaskan operasi di Lebanon, menyeberangi Sungai Litani dan menguasai Rabung Beaufort,” katanya menerusi kenyataan di platform Telegram.
Beliau berkata pertempuran masih berterusan di kawasan tersebut.
Sementara itu, Menteri Kewangan Israel Bezalel Smotrich menyifatkan penawanan Istana Beaufort di selatan Lubnan sebagai usaha menebus 'kesilapan' lalu negara itu susulan pengunduran tentera lebih dua dekad lalu.
Dalam hantaran di platform X, Smotrich berkata langkah ketenteraan tersebut penting bagi memperkukuh keselamatan jangka panjang di wilayah utara Israel.
“Kembali ke Beaufort adalah satu bentuk pembetulan terhadap kesilapan nasional yang lalu serta persepsi keselamatan yang tersasar,” katanya.
Beliau turut mengkritik keputusan pengunduran Israel dari Lubnan, dengan menyifatkannya sebagai faktor yang membolehkan kumpulan bersenjata di negara itu memperkukuh keupayaan mereka.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sebelum ini turut mengesahkan pasukan tenteranya telah menyeberangi Sungai Litani, selain meningkatkan operasi di beberapa kawasan lain termasuk Beirut dan Lembah Bekaa.
Perkembangan itu dilihat sebagai kehadiran terbaharu tentera Israel di lokasi berkenaan sejak pengunduran mereka dari selatan Lubnan pada tahun 2000.
Kawasan tersebut sebelum ini pernah menjadi lokasi penting dalam konflik pada 1982.
Setakat ini, pihak berkuasa Lubnan serta kumpulan Hezbollah masih belum mengeluarkan sebarang maklum balas rasmi berhubung dakwaan tersebut.