AMMAN: Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran mendakwa melancarkan serangan peluru berpandu balistik dan dron terhadap Pangkalan Udara Putera Hassan di Jordan yang digunakan tentera Amerika Syarikat (AS), ketika ketegangan ketenteraan antara Tehran dan Washington terus meningkat.
Menurut kenyataan IRGC yang dipetik media antarabangsa, serangan itu menyasarkan infrastruktur ketenteraan AS di pangkalan berkenaan.
IRGC turut mendakwa serangan tersebut memusnahkan pusat kawalan serta beberapa kemudahan yang digunakan bagi operasi dron pengintip tentera AS.
Bagaimanapun, dakwaan itu belum dapat disahkan secara bebas.
Iran menyifatkan operasi berkenaan sebagai fasa pertama tindak balas terhadap serangan AS ke atas beberapa kemudahan ketenteraan Iran sebelum ini.
Sementara itu, Angkatan Tentera Jordan berkata sistem pertahanan udara negara itu berjaya memintas dan menembak jatuh beberapa peluru berpandu yang memasuki ruang udara Jordan.
Menurut pihak berkuasa Jordan, serpihan peluru berpandu dikesan jatuh di beberapa lokasi, namun tiada kemalangan jiwa atau kerosakan besar dilaporkan.
Perkembangan terbaharu itu menambah kebimbangan terhadap kestabilan Asia Barat ketika konflik melibatkan Iran dan AS menunjukkan petanda semakin meluas ke negara-negara jiran di rantau berkenaan.