KUALA LUMPUR: Selat Bab al-Mandeb bakal disekat seperti Selat Hormuz sekiranya Israel terus melaksanakan operasi ketenteraannya di Lubnan dan Gaza dengan sokongan Amerika Syarikat (AS).
Komander Pasukan Quds Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Brigedier Jeneral Esmail Qa'ani memberi amaran sedemikian susulan serangan berterusan yang disifatkan sebagai jenayah Zionis di kedua-dua wilayah.
“Jenayah yang dilakukan atas sokongan terbuka AS akan mendorong Axis of Resistance (Muqawamah) untuk memperluas sokongan di kedua-dua medan pertempuran tersebut,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan hari ini.
Tegasnya, langkah yang akan diambil ialah mengaktifkan medan-medan lain dan menjadikan keadaan lalu lintas serta pelayaran di Selat Bab al-Mandeb setara dengan keadaan di Selat Hormuz.
Pada masa sama, beliau turut memberi amaran kepada Israel bahawa serangan berterusan yang dilakukan akan berdepan gelombang baharu penentangan daripada pasukan bersenjata Palestin dan Hezbollah.
Pada masa sama, agensi berita Iran, Press TV melaporkan Tehran menegaskan sebarang perjanjian muktamad dengan AS perlu merangkumi penghentian menyeluruh operasi ketenteraan di semua medan konflik.
Menurut laporan itu, syarat tersebut turut melibatkan penghentian serangan Israel di Lubnan yang terus menjadi antara tuntutan utama Iran dalam rundingan berkaitan konflik serantau.
Laluan yang menghubungkan Laut Merah dan Teluk Aden itu mengendalikan sekitar satu persepuluh perdagangan global sekali gus menjadikannya antara titik sempit perdagangan paling penting di dunia.
Manakala proksi Iran, Ansarullah di Yaman sebelum ini pernah melancarkan serangan terhadap kapal berkaitan Israel dan aset ketenteraan AS di kawasan itu sebagai tanda solidariti terhadap Palestin dan Iran.