Skip to main content

Dunia

Iran tuntut pelepasan penuh tanpa syarat aset yang dibekukan

KONFLIK ASIA BARAT
Ali Bagheri Kani menegaskan bahawa aset-aset Iran yang dibekukan mesti dikembalikan kepada negara itu "secara keseluruhan dan tanpa sebarang syarat." - Gambar fail

TEHRAN: Seorang pegawai kanan keselamatan Iran menuntut pelepasan "tanpa syarat dan sepenuhnya" ke atas aset-aset Iran yang dibekukan, lapor Xinhua memetik agensi berita Tasnim pada Khamis.

"Kami menuntut pelepasan kesemua aset Iran yang dibekukan oleh Amerika Syarikat (AS), dan ini merupakan hak rakyat Iran di sisi undang-undang," kata Ali Bagheri Kani, Timbalan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran.

Beliau menegaskan bahawa aset-aset Iran berkenaan mesti dikembalikan kepada negara itu "secara keseluruhan dan tanpa sebarang syarat."

Satu delegasi peringkat tinggi Iran tiba di Doha, ibu negara Qatar pada Isnin untuk mengadakan rundingan dengan pegawai Qatar mengenai kemungkinan perjanjian damai dengan AS, serta potensi pelepasan dana yang dibekukan oleh AS sebagai sebahagian daripada satu perjanjian akhir.

Iran menuntut pelepasan asetnya yang dibekukan bernilai AS$24 bilion semasa rundingan dengan AS bagi menamatkan konflik berkenaan, lapor agensi berita Tasnim pada Selasa.

Iran, AS dan Israel mencapai persetujuan gencatan senjata pada 8 April lepas selepas bertempur selama 40 hari.

Susulan gencatan senjata itu, delegasi Iran dan AS mengadakan rundingan damai di Islamabad, ibu negara Pakistan pada 11 dan 12 April, namun gagal mencapai sebarang kata sepakat.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kedua-dua pihak dilaporkan telah saling bertukar beberapa pelan cadangan mengenai syarat-syarat untuk menamatkan konflik mereka melalui pengantaraan Pakistan.

-- BERNAMA-XINHUA 

 

Must Watch Video

Advertisement