Skip to main content

Dunia

Iran selar tindakan UK isytihar IRGC sebagai ancaman keselamatan

61769726799_IRGC.jpg
Kementerian Luar Iran berkata IRGC merupakan institusi rasmi di bawah struktur angkatan tentera negara itu dan sebarang tindakan yang menyasarkan organisasi berkenaan dianggap sebagai campur tangan terhadap institusi negara yang sah. -Gambar fail

TEHRAN: Kerajaan Iran mengecam sekeras-kerasnya keputusan United Kingdom (UK) yang melabel Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) sebagai ancaman keselamatan, sekali gus menyifatkan langkah berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak berasas, lapor Al Jazeera.

Kementerian Luar Iran berkata IRGC merupakan institusi rasmi di bawah struktur angkatan tentera negara itu dan sebarang tindakan yang menyasarkan organisasi berkenaan dianggap sebagai campur tangan terhadap institusi negara yang sah.

Tehran menyifatkan tindakan London itu sebagai tidak berasas serta bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

“Keputusan United Kingdom ini adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan kementerian yang dipetik media antarabangsa pada Selasa.

UK pada Isnin menguatkuasakan langkah baharu melarang sokongan terhadap IRGC serta kumpulan yang mempunyai kaitan dengannya di bawah kerangka keselamatan bertujuan mengekang aktiviti risikan, pengaruh asing, dan sabotaj.

Langkah tersebut diumumkan ketika ketegangan serantau melibatkan Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel terus meningkat di Asia Barat.

Bagaimanapun, Iran secara konsisten menafikan dakwaan negara-negara Barat bahawa Tehran menggunakan kumpulan proksi bagi melancarkan serangan atau menjalankan aktiviti sabotaj di peringkat antarabangsa.

 

Must Watch Video

Advertisement