Skip to main content

Dunia

GSF 2.0: Indonesia sahkan lima warganya ditahan tentera Israel

An Israeli naval boat intercepts the Global Sumud Flotilla en route to Gaza, in an attempt to deliver aid, at sea May 18, 2026, in this screengrab taken from a handout video. Global Sumud Flotilla/Handout via REUTERS
Indonesia mengesahkan lima daripada sembilan rakyatnya yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 telah ditahan tentera Israel. - Foto Reuters

JAKARTA: Indonesia mengesahkan lima daripada sembilan rakyatnya yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 telah ditahan tentera Israel berhampiran perairan Cyprus di timur Mediterranean.

Jurucakap Kementerian Luar Yvonne Mewengkang berkata baki empat warga Indonesia, yang menaiki dua kapal berasingan, masih berlayar berhampiran perairan Cyprus dan masih dalam situasi berbahaya berdasarkan perkembangan semasa.

"Keadaan di lapangan kekal tegang. Empat warga Indonesia yang masih berlayar kekal dalam keadaan bahaya dan boleh berdepan pemintasan atau penahanan oleh tentera Israel pada bila-bila masa," katanya dalam satu kenyataan video pada Selasa.

Yvonne berkata Kementerian Luar telah berkoordinasi dengan kedutaan Indonesia di Ankara, Kaherah, Rom dan Amman, serta Konsulat Jeneral Indonesia di Istanbul, untuk menyediakan langkah-langkah jangkaan, termasuk pengeluaran dokumen perjalanan sementara sekiranya pasport dirampas dan bantuan perubatan jika diperlukan.

Beliau berkata wakil Indonesia juga telah menghubungi pihak berkuasa tempatan yang berkaitan untuk memastikan akses transit dan memudahkan proses penghantaran pulang warga Indonesia tanpa halangan berkaitan imigresen.

“Kementerian Luar, menerusi wakil Indonesia berkaitan, akan terus memantau perkembangan, mengesahkan keberadaan dan keadaan warga Indonesia, serta menyediakan langkah perlindungan yang diperlukan di lapangan," katanya.

Indonesia turut menyertai sembilan negara lain - Turkiye, Bangladesh, Brazil, Colombia, Jordan, Libya, Maldives, Pakistan dan Sepanyol - dalam satu kenyataan bersama mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel terhadap misi GSF.

Malaysia juga mengutuk sekeras-kerasnya pemintasan misi GSF 2.0 yang menuju ke Gaza dan penahanan lebih 100 aktivis termasuk 16 rakyat Malaysia, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut jaminan untuk keselamatan semua aktivis yang terlibat dan pembebasan segera mereka.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video