Skip to main content

Dunia

Gelinciran tidak pecah dari 2016 kemungkinan punca gempa bumi kuat di Jepun - Pakar

Rescue workers conduct a search and rescue operation at the damaged Aeon Mall shopping centre, where, according to local media, an explosion occurred after an earthquake with a preliminary magnitude of 7.1 struck Japan's southern Kumamoto prefecture, in Kashima Town, Kumamoto Prefecture, Japan, July 28, 2026. Kyodo/via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY. MANDATORY CREDIT. JAPAN OUT. NO COMMERCIAL OR EDITORIAL SALES IN JAPAN. TPX IMAGES OF THE DAY
Gempa bumi kuat yang melanda barat daya Jepun pada Selasa berkemungkinan berpunca daripada gelinciran yang tidak pecah semasa dua gempa bumi berturut-turut melanda wilayah hampir sama sedekad lepas. - Gambar Reuters

TOKYO: Gempa bumi kuat yang melanda barat daya Jepun pada Selasa berkemungkinan berpunca daripada gelinciran yang tidak pecah semasa dua gempa bumi berturut-turut melanda wilayah hampir sama sedekad lepas, kata pakar yang turut memberi amaran bahawa gegaran kuat mungkin berterusan, lapor Kyodo News.

Tumpuan ke atas gempa bumi terkini berukuran 7.1 pada skala Richter yang bermula di Wilayah Kumamoto itu terletak tidak jauh dari pusat gempa bumi darat serupa bermagnitud 6.5 pada 14 April 2016, dan bermagnitud 7.3 dua hari kemudian.

Ketiga-tiga gempa bumi berkenaan merekodkan keamatan maksimum paras 7 mengikut skala keamatan seismik Jepun di beberapa bahagian di wilayah itu. Bencana pada 2016 memusnahkan wilayah berkenaan dan mengorbankan lebih 270 nyawa.

Beberapa zon gelinciran aktif, termasuk zon gelinciran Hinagu dan Futagawa yang mencetuskan gempa bumi pada 2016, merentasi bahagian tengah Kyushu.

Pakar berkali-kali mengingatkan, bahagian selatan zon gelinciran Hinagu, yang menjangkau hingga ke kawasan berdekatan Laut Yatsushiro, hampir tidak terjejas selepas kejadian 10 tahun lepas.

Profesor Seismologi di Universiti Tohoku, Shinji Toda mendapati bilangan gegaran dengan magnitud 1.5 atau lebih telah meningkat lebih dua kali ganda berbanding sebelum gempa bumi 2016, berdasarkan analisisnya terhadap aktiviti seismik berhampiran zon gelinciran Hinagu sepanjang dekad lepas.

"Dipercayai bahawa gempa bumi 2016 telah menyebabkan tekanan signifikan, sekali gus mengakibatkan  pergerakan di sepanjang sebahagian zon gelinciran Hinagu kali ini," kata Toda sambil menambah bahawa kedua-dua kejadian berkongsi mekanisme yang sama.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun, gempa bumi pada 4.27 petang Selasa itu berlaku pada kedalaman 16 kilometer di sepanjang sesar jurus-gelincir, iaitu keadaan apabila dua kawasan bersebelahan bergerak secara mendatar bertentangan antara satu sama lain, serupa seperti kejadian pada 2016.

Sementara itu, agensi berkenaan belum mengaitkan secara eksplisit gempa bumi pada Selasa dengan gempa bumi besar yang berlaku sedekad lepas.

-- BERNAMA-KYODO

 

Must Watch Video

Advertisement