Skip to main content

Dunia

EU kritik langkah terbaharu Israel perluas penempatan di Tebing Barat

Mourners react while carrying a body during the funeral of three Palestinians, who were killed in an Israeli strike, according to medics, in Gaza City, July 16, 2026. REUTERS/Dawoud Abu Alkas
Kesatuan Eropah pada Jumaat menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan terbaharu Israel untuk memperluas penempatan di Tebing Barat yang diduduki, sambil memberi amaran langkah itu akan terus menjejaskan daya maju penyelesaian dua negara. - Gambar Reuters

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) pada Jumaat menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan terbaharu Israel untuk memperluas penempatan di Tebing Barat yang diduduki, sambil memberi amaran langkah itu akan terus menjejaskan daya maju penyelesaian dua negara, lapor Xinhua.

Menurut Perkhidmatan Tindakan Luar Eropah (EEAS), peruntukan baharu yang diluluskan Israel bagi perluasan penempatan akan mengukuhkan lagi kedudukan penempatan di kawasan sensitif di Tebing Barat.

Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan juga akan menyebabkan komuniti Palestin semakin terpisah dan terpencil, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko pelanggaran hak asasi manusia yang lebih besar.

Kenyataan itu turut menegaskan semula pendirian EU yang tidak mengiktiraf keputusan Israel memberikan status perbandaran kepada penempatan Givat Ze'ev di Tebing Barat.

EU sekali lagi menegaskan pendirian sejak sekian lama untuk tidak mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas wilayah yang diduduki sejak Jun 1967, selaras dengan resolusi berkaitan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kenyataan itu menggesa Israel supaya menghentikan perluasan penempatan, pengesahan penempatan haram, rampasan tanah, perobohan, pengusiran serta langkah unilateral lain yang menjejaskan daya maju penyelesaian dua negara.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement