SAO PAULO: Dua individu yang baru tiba di Brazil dari negara-negara Afrika telah diletakkan dalam pengasingan selepas menunjukkan simptom yang dikaitkan dengan Ebola, kata pihak berkuasa, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai potensi penularan virus maut itu di luar benua Afrika.
Seorang lelaki berusia 37 tahun yang baru pulang dari Republik Demokratik Congo (DRC), lokasi utama penularan wabak, “menunjukkan simptom seperti demam, yang memenuhi definisi kes disyaki Ebola,” menurut kenyataan kerajaan negeri Sao Paulo pada Sabtu.
Lelaki berkenaan telah diasingkan di Institut Penyakit Berjangkit Emilio Ribas di Sao Paulo.
Pada Ahad, pihak berkuasa memaklumkan, pesakit tersebut didiagnosis menghidap meningitis pada tahap serius dan ujian lanjut sedang dijalankan bagi mengesahkan sama ada jangkitan Ebola turut berlaku.
Seorang lagi lelaki turut diletakkan dalam pengasingan di Rio de Janeiro selepas tiba dari Uganda pada 22 Mei dan menunjukkan “gejala virus seperti batuk, menggigil serta cirit-birit,” menurut pihak berkuasa tempatan.
Dewan Bandaraya Rio memaklumkan, lelaki itu disahkan positif malaria, namun kes berkenaan masih dalam siasatan lanjut.
Sejak wabak diisytiharkan pada 15 Mei, lebih 1,000 kes disyaki Ebola dilaporkan di DRC termasuk hampir 250 kematian, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika.
Beberapa kes jangkitan serta satu kematian turut disahkan di negara jiran, Uganda.
Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa skala sebenar penularan di DRC berkemungkinan lebih luas, memandangkan wabak itu dipercayai telah beredar sebelum dikesan.
Kerajaan Sao Paulo menyatakan bahawa walaupun terdapat kes disyaki, “penilaian teknikal menunjukkan risiko penyakit ini merebak ke Brazil dan Amerika Selatan kekal sangat rendah.” - Agensi