Skip to main content

Dunia

Dua juruterbang SWISS digantung tugas disyaki mabuk

SWISS Airlines
Kru kabin membangkitkan kebimbangan beberapa jam sebelum penerbangan pada Mei lalu dan memaklumkan perkara itu kepada penyelia mereka. - Gambar fail

GENEVA: Dua juruterbang yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk  digantung tugas sebelum penerbangan berlepas dari Geneva awal tahun ini, menurut Swiss International Air Lines (SWISS) pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Syarikat penerbangan itu memaklumkan bahawa kru kabin membangkitkan kebimbangan beberapa jam sebelum penerbangan pada Mei lalu dan memaklumkan perkara itu kepada penyelia mereka.

Menurut SWISS, kedua-dua juruterbang itu digantung tugas ketika masih berada di hotel sebelum bertolak ke lapangan terbang dan digantikan dengan juruterbang lain.

Laporan yang dikemukakan oleh kru penerbangan itu cukup terperinci untuk membolehkan syarikat berkenaan mempersoalkan tahap kecergasan kedua-dua juruterbang berkenaan untuk menerbangkan pesawat.

“Kedua-dua juruterbang itu tidak lagi menerbangkan pesawat sejak kejadian itu dan siasatan masih diteruskan,” menurut syarikat penerbangan itu.

“Kami memandang serius sebarang pelanggaran terhadap prinsip keselamatan kami dan ia mungkin membawa implikasi di bawah undang-undang pekerjaan."

Atas faktor privasi, SWISS enggan mendedahkan kerakyatan kedua-dua juruterbang berkenaan atau destinasi penerbangan yang dijadualkan berlepas dari Geneva.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement