Skip to main content

Dunia

BRICS bakal jadi tonggak utama orde baharu dunia seimbang - Kementerian Luar Iran

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi... kredit X@araghchi
Araghchi percaya BRICS mampu dan harus menjadi satu daripada tonggak utama dalam pembentukan orde baharu dunia yang lebih adil, seimbang dan berperikemanusiaan. - Foto X/Araghchi

TEHRAN: Kumpulan BRICS harus menjadi antara tonggak utama dalam pembentukan orde baharu dunia yang seimbang dan lebih berperikemanusiaan, kata Menteri Luar Iran Abbas Araghchi, lapor Agensi Berita Rusia (TASS).

"Kami percaya BRICS mampu dan harus menjadi satu daripada tonggak utama dalam pembentukan orde baharu dunia yang lebih adil, seimbang dan berperikemanusiaan," katanya dalam ucapan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar BRICS di New Delhi, yang dimuat naik menerusi saluran Telegram beliau.

"Rakyat yang mempertahankan maruah dan kemerdekaan mereka mungkin menghadapi kesukaran yang besar, namun mereka tidak akan sesekali dikalahkan," kata menteri itu.

Mesyuarat Menteri-Menteri Luar BRICS yang dipengerusikan oleh India berlangsung dari 14 hingga 15 Mei. Acara itu merangkumi tiga sesi bertemakan "Isu Global dan Serantau," "20 Tahun BRICS: Usaha Bersama demi Ketahanan, Inovasi, Kerjasama dan Kelestarian," serta "Reformasi Tadbir Urus Global dan Sistem Pelbagai Hala."

BRICS ditubuhkan pada 2006, yang pada asalnya dianggotai oleh Brazil, Rusia, India dan China.

Afrika Selatan menyertai kumpulan itu pada 2011, manakala Mesir, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Ethiopia diberikan keahlian penuh pada 1 Jan 2024.

Indonesia menyertai kumpulan itu pada 6 Jan 2025. Belarus, Bolivia, Cuba, Kazakhstan, Malaysia, Thailand, Uganda dan Uzbekistan secara rasmi menjadi negara rakan BRICS pada 1 Jan 2025, diikuti oleh Nigeria pada 17 Jan, dan Vietnam pada 14 Jun.

-- BERNAMA-TASS

Must Watch Video