Skip to main content

Dunia

Arab Saudi saran jemaah guna panduan umrah dan ziarah

41711071884_TBmasjidnabawij.jpg
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi saran individu yang berhasrat menunaikan umrah dan menziarahi Masjid Nabawi supaya merujuk “Panduan Umrah dan Ziarah” yang tersedia di laman sesawang kementerian itu. - Gambar fail

MEKAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menyarankan individu yang berhasrat menunaikan umrah dan menziarahi Masjid Nabawi supaya merujuk “Panduan Umrah dan Ziarah” yang tersedia di laman sesawang kementerian itu, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Bahan rujukan berkenaan menyediakan maklumat berkaitan ibadah dan pengurusan bagi membantu jemaah membuat persediaan serta melaksanakan umrah dan ziarah dengan lancar dan tenang.

Disediakan dalam 16 bahasa, ia merangkumi setiap peringkat termasuk persediaan sebelum berlepas, urusan visa, syarat kemasukan, ihram, pelaksanaan ibadah, pengangkutan, ziarah ke Masjid Nabawi dan prosedur pulang.

Maklumat disusun mengikut turutan bagi membolehkan jemaah dan pengunjung mendapatkan rujukan yang bersesuaian dengan setiap peringkat secara pantas.

Ia turut dilengkapi peta interaktif, pautan kepada kemudahan digital dan panduan visual bagi membantu pelaksanaan ibadah mengikut sunnah serta memudahkan penggunaan kemudahan yang disediakan.

Antara kandungannya ialah penerangan terperinci mengenai miqat, adab berihram, tawaf, sa’i, solat di Dua Masjid Suci dan adab menziarahi tempat suci.

Turut disertakan ialah arahan pengurusan, garis panduan kesihatan dan keselamatan, nombor telefon kecemasan serta pautan terus ke platform elektronik bagi mendapatkan maklumat rasmi terkini.

Menurut kementerian itu, penerbitan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan kefahaman, menggalakkan pematuhan terhadap peraturan dan membantu jemaah menunaikan ibadah dengan lebih teratur serta tenteram.

Inisiatif itu juga mencerminkan usaha kementerian untuk terus meningkatkan mutu kemudahan bagi jemaah umrah dan pengunjung.

Orang ramai boleh mengakses panduan berkenaan menerusi laman sesawang https://haj.gov.sa/en/Awareness-Center/Awareness-Guides/Umrah-and-Visit-Guide.

-- BERNAMA-SPA

 

Must Watch Video

Advertisement