MADINAH: Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidilharam dan Masjid Nabawi memperhebat usaha kesedaran dan bimbingan bagi mendidik jemaah haji serta pengunjung mengenai adab tertib menziarahi Masjid Nabawi dan cara yang betul memberi salam kepada Nabi Muhammad SAW serta dua sahabat baginda.
Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), usaha itu dilaksanakan menerusi "sistem bimbingan bersepadu" dan kandungan pengisian dalam beberapa bahasa bagi meningkatkan kesedaran agama dan intelektual pengunjung sepanjang musim haji.
Program kesedaran itu termasuk penyampaian mesej bimbingan secara langsung di dalam Masjid Nabawi dan kawasan perkarangannya, selain penggunaan skrin digital serta kandungan digital berbilang bahasa.
Program itu bertujuan mendidik jemaah mengenai hukum dan adab tertib berkaitan ziarah, selain menggalakkan tingkah laku yang mencerminkan penghormatan terhadap tempat suci itu sambil mengekalkan ketenteraman dan ketertiban di Masjid Nabawi, menurut laporan itu.
Pihak berkuasa itu menegaskan komitmennya untuk menyampaikan mesej kesedaran menerusi medium yang mudah diakses dengan mengambil kira kepelbagaian warganegara dan bahasa jemaah sebagai sebahagian daripada usaha memperkaya pengalaman kerohanian mereka serta menyebarkan mesej kesederhanaan Dua Masjid Suci.
-- BERNAMA-SPA