Skip to main content

Dunia

Angka korban kebakaran bar di Bangkok meningkat kepada 30, BMA arah pemeriksaan

Sumber: AP
Pihak berkuasa Thailand sedang menyiasat punca kebakaran itu, dengan pintu kecemasan yang terhalang, bahan dalaman mudah terbakar serta kemungkinan kerosakan elektrik antara aspek utama siasatan. - Foto AP

BANGKOK: Angka korban akibat kebakaran di sebuah bar di kawasan Lat Phrao, Bangkok pada Isnin meningkat kepada 30 orang, mendorong Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengarahkan pemeriksaan keselamatan lebih ketat terhadap premis berkaitan hiburan di seluruh ibu negara.

Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt berkata seramai 75 orang cedera dalam kebakaran itu, dengan 36 daripadanya dibenarkan keluar dari hospital setakat 9.30 pagi Selasa.

"Angka korban akibat kebakaran di kawasan Lat Phrao meningkat kepada 30 orang. Tiga mayat masih menunggu proses pengesahan identiti rasmi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat ketua-ketua agensi BMA pada Selasa.

Menurut BMA, tiga mangsa yang cedera parah meninggal dunia di hospital, menjadikan angka korban meningkat kepada 30 orang.

Chadchart berkata BMA telah menubuhkan jawatankuasa pencarian fakta bagi menyiasat insiden itu, meneliti kelemahan yang berlaku serta mengemukakan cadangan penambahbaikan terhadap peraturan dan penguatkuasaan keselamatan.

Beliau berkata kesemua 50 pejabat daerah diarahkan menjalankan pemeriksaan proaktif terhadap restoran, bar dan premis seumpamanya dengan menggunakan piawaian keselamatan setara yang diwajibkan ke atas premis hiburan berlesen.

"Senarai semak pemeriksaan akan diperkukuh melangkaui keperluan undang-undang sedia ada, termasuk pemeriksaan terhadap bahan hiasan mudah terbakar, pintu kecemasan, lampu kecemasan dan peralatan pemadaman kebakaran," katanya.

Beliau berkata pejabat daerah turut diarahkan menjalankan pemeriksaan mengejut ketika premis beroperasi bagi memastikan langkah keselamatan dilaksanakan dengan sewajarnya.

"Pemeriksaan pada waktu siang mungkin tidak menggambarkan keadaan sebenar ketika premis beroperasi. Kita perlu memeriksa premis ketika ia dibuka bagi memastikan pintu kecemasan tidak dihalang dan sistem keselamatan berfungsi dengan baik," kata Chadchart.

Beliau berkata banyak premis didaftarkan sebagai restoran dan bukannya pusat hiburan kerana terletak di luar kawasan zon yang ditetapkan, sekali gus menyebabkan premis itu tertakluk kepada keperluan kawal selia yang berbeza.

BMA akan mencadangkan supaya Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula peraturan pengezonan dan perundangan berkaitan bagi memastikan perniagaan yang menjalankan operasi serupa tertakluk kepada piawaian keselamatan yang sama.

Chadchart turut mengarahkan semua pejabat daerah mengemukakan laporan bulanan mengenai premis yang beroperasi melebihi waktu dibenarkan, menjual minuman beralkohol selepas waktu penutupan yang ditetapkan undang-undang atau disyaki terbabit dalam kegiatan haram untuk tindakan lanjut pihak berkuasa berkaitan.

Pihak berkuasa Thailand sedang menyiasat punca kebakaran itu, dengan pintu kecemasan yang terhalang, bahan dalaman mudah terbakar serta kemungkinan kerosakan elektrik antara aspek utama siasatan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement