ISTANBUL: Angka korban akibat dua gempa bumi yang melanda Venezuela meningkat kepada 4,490 orang, lapor Anadolu Ajansi.
Presiden Dewan Kebangsaan, Jorge Rodriguez berkongsi angka rasmi terkini kerajaan menerusi platform media sosial X, dengan memaklumkan bahawa 16,740 orang cedera dalam bencana itu, manakala 6,462 lagi berjaya diselamatkan.
Pihak berkuasa telah menyalurkan bantuan kepada 120,794 keluarga serta mendirikan 108 pusat penempatan sementara yang menempatkan 19,583 orang, manakala 17,907 lagi masih belum mempunyai kediaman tetap.
Menurut laporan itu, gempa berkenaan merosakkan 856 bangunan, termasuk 190 struktur runtuh.
Pasukan bantuan mengagihkan 9,995 tan metrik makanan dan lebih 18.5 juta liter air, manakala 32,401 pesakit menerima rawatan perubatan.
Operasi tindak balas itu melibatkan 31,837 anggota, 30,535 sukarelawan dan 2,422 anggota penyelamat antarabangsa.
Pada 24 Jun, dua gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 pada skala Richter melanda negara Amerika Selatan itu dalam jarak hanya 39 saat.
Gempa berkenaan menyebabkan kemusnahan meluas, sekali gus mencetuskan operasi bantuan kemanusiaan berskala besar di peringkat nasional dan antarabangsa.
-- BERNAMA-ANADOLU