HAMILTON: Angka korban akibat gempa bumi berkembar di Venezuela meningkat kepada 4,118 orang, manakala 16,740 lagi cedera dan ribuan penduduk hilang tempat tinggal, kata Presiden Perhimpunan Kebangsaan, Jorge Rodriguez pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam kemas kini di platform media sosial X, Rodriguez menyatakan, sebanyak 86,794 keluarga telah menerima bantuan susulan bencana berkenaan.
Beliau berkata, seramai 6,462 orang berjaya diselamatkan manakala 856 bangunan mengalami kerosakan dan 190 lagi runtuh.
Pihak berkuasa mengagihkan 9,766 tan metrik makanan dan lebih 13.9 million liter air manakala 29,966 pesakit telah menerima rawatan perubatan, tambah Rodriguez.
Menurut beliau, sebanyak 30,076 anggota dan 29,843 sukarelawan dikerahkan untuk misi bantuan, dengan sokongan 3,454 petugas penyelamat antarabangsa.
Sebanyak 89 kem sementara didirikan untuk penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan pihak berkuasa merekodkan 1,171 gempa susulan.
Dua gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud melanda negara Amerika Selatan itu pada 24 Jun, dengan selang masa hanya 39 saat.
Gempa berkenaan mengakibatkan kemusnahan meluas, mencetuskan tindak balas kemanusiaan berskala besar di peringkat domestik dan antarabangsa.
-- BERNAMA-ANADOLU