ISTANBUL: Majid Baghchivan, seorang aktivis yang ditahan di atas kapal misi bantuan menuju ke Gaza, Global Sumud Flotilla (GSF) cedera di kaki akibat terkena peluru getah yang dilepaskan oleh tentera Israel, menurut penganjur pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Misi itu memaklumkan bahawa walaupun Baghchivan dibawa ke sebuah pusat rawatan di Ashdod, selatan Israel, beliau enggan menerima rawatan di hospital Israel.
Satu video yang dikongsi rakan gabungan kerajaan Israel dan Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir pada awal Rabu menunjukkan aktivis terbabit dimalukan selepas tiba di pelabuhan.
Menteri Pengangkutan Israel Miri Regev memuat naik satu lagi video yang menyifatkan para aktivis berkenaan sebagai “penyokong pengganas” dan “khayal akibat alkohol”.
Menurut penganjur, tentera Israel menyerang keseluruhan 50 kapal yang membawa 428 individu dari 44 negara, termasuk 78 rakyat Turkiye, di perairan antarabangsa pada Isnin.
Flotila itu berlepas pada Khamis dari daerah Marmaris di Turkiye dalam cubaan baharu untuk menamatkan sekatan haram Israel yang dikenakan ke atas Gaza sejak 2007.
Ini bukan kali pertama insiden seumpama itu melibatkan flotila berkenaan.
Pada akhir April, tentera Israel menyerang kapal flotila di perairan antarabangsa berhampiran pulau Crete, Greece. Konvoi ketika itu melibatkan 345 peserta dari 39 negara, termasuk rakyat Turkiye.
Israel telah mengenakan sekatan yang melumpuhkan ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007, menyebabkan 2.4 juta penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.
-- BERNAMA-ANADOLU