Skip to main content

Dunia

46 diselamatkan selepas kapal Vietnam tenggelam di Laut China Selatan

Sumber: REUTERS
Pihak China memindahkan mangsa yang diselamatkan secara berperingkat menggunakan rakit penyelamat daripada kapal penyelamat China, 'Nanhai Jiu 115', kepada kapal tentera laut Vietnam, 'Truong SA-01'. - REUTERS

SANSHA: Seramai 46 kru sebuah kapal Vietnam yang tenggelam berhampiran Terumbu Yongshu di Kepulauan Nansha, Laut China Selatan berjaya diselamatkan setakat 9 malam Ahad, termasuk seorang yang diselamatkan oleh pihak Vietnam, menurut pihak berkuasa di bandar Sansha, selatan China, lapor Xinhua.

Pada 8.05 malam, pihak China memindahkan 41 mangsa yang diselamatkan secara berperingkat menggunakan rakit penyelamat daripada kapal penyelamat China, “Nanhai Jiu 115”, kepada kapal tentera laut Vietnam, “Truong SA-01”. 

Baki empat lagi mangsa dijadualkan diserahkan pada Isnin.

Kira-kira 6.23 petang pada Sabtu, kapal “Nanhai Jiu 115” yang dikendalikan oleh Biro Penyelamat Nanhai di bawah Kementerian Pengangkutan China, mengesan isyarat kecemasan di laut.

Selepas menemukan sebuah rakit penyelamat yang membawa beberapa individu melambai-lambaikan pakaian untuk meminta bantuan, kapal penyelamat berkenaan menghampiri rakit itu untuk menjalankan operasi menyelamat.

Menurut pihak berkuasa mencari dan menyelamat maritim Sansha, kesemua mangsa yang diselamatkan merupakan warga Vietnam dari kapal “Khoi Nguyen 18” yang mengalami masalah. 

Kapal sepanjang 69.9 meter dan lebar 10.8 meter itu membawa 62 orang semasa kejadian berlaku.

Sebanyak enam kapal dan sebuah helikopter penyelamat dari China, serta tujuh kapal dari Vietnam masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement