KUALA LUMPUR: Usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Johor digesa merebut peluang keemasan menerusi inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) untuk menembusi pasaran global tanpa perlu menanggung kos operasi yang tinggi di luar negara.
Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Johor (DPMMJ), Yazid Khalid berkata, menerusi kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, landskap ekonomi telah berubah apabila pasaran antarabangsa kini dibawa masuk ke negeri itu, sekali gus memberikan kelebihan strategik kepada usahawan tempatan.
“Usahawan Johor sekarang bukan sahaja berpeluang bekerjasama dengan syarikat antarabangsa malah dapat menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global tanpa perlu keluar dari negeri sendiri dan inilah kelebihan strategik yang menjadikan Johor sebagai pintu masuk ekonomi dunia.
“Walau bagaimanapun, peluang global ini tidak bermakna jika usahawan kita tidak berani merebutnya dan ruang ini akan diisi oleh orang luar. Kerajaan Johor sudah menyediakan platform, kini terpulang kepada usahawan kita untuk melangkah ke hadapan,” katanya ketika menjadi tetamu program Johor Tersohor bertajuk Perkasa Ekonomi Melayu Johor secara dalam talian terbitan Bernama Radio pada Selasa.
Mengenai profil keusahawanan negeri, Yazid berkata, hingga suku pertama 2024, dianggarkan terdapat 131,000 usahawan PMKS di Johor dengan lebih 70 peratus daripadanya usahawan mikro.
Beliau berkata, keberkesanan dasar sedia ada sama ada di peringkat Persekutuan melalui agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional mahupun peringkat negeri menerusi Perbadanan Usahawan Johor (PUJB), perlu diukur melalui kemampuan usahawan bertahan dalam jangka panjang.
“Keberkesanan dasar sering diukur dengan tempoh masa iaitu berapa ramai usahawan yang masih bertahan selepas menerima pembiayaan lebih daripada lima tahun. Berapa banyak pula perniagaan berkembang tahap daripada mikro kecil kepada sederhana dan seterusnya.
“Maka penilaian berkala ini membolehkan kerajaan menyesuaikan dasar dengan cabaran semasa,” katanya.
Selain itu beliau turut menarik perhatian mengenai potensi besar dalam sektor peruncitan, makanan dan minuman (F&B), pertanian serta pelancongan yang dilihat mampu berkembang pesat dengan sokongan ekosistem kerajaan negeri serta kemasukan pelaburan asing.
Beliau berkata, usahawan mikro yang biasanya mempunyai jualan tahunan di bawah RM300,000 dan menggajikan kurang daripada lima pekerja perlu memanfaatkan platform latihan dan ruang pasaran yang disediakan untuk beralih ke tahap yang lebih tinggi.
-- BERNAMA