Skip to main content

Bisnes

SPIEF 2026: Peranan Riyadh jadi tumpuan di tengah ketegangan Selat Hormuz

[TB]_SPIEF 2026_Foto Roscongress
Kehadiran Arab Saudi di SPIEF 2026 bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan usaha Moscow untuk memperkukuh hubungan dengan kuasa-kuasa utama Global South. - Foto Roscongress

KUALA LUMPUR: Pemilihan Arab Saudi sebagai tetamu kehormat bagi edisi ke-29 Forum Ekonomi Antarabangsa St Petersburg (SPIEF) 2026 dilihat mempunyai signifikan tersendiri ketika landskap geopolitik global terus bergelora, khususnya melibatkan keselamatan tenaga dan kestabilan laluan perdagangan di Selat Hormuz.

Forum yang berlangsung dari 3 hingga 6 Jun di Pusat Pameran dan Konvensyen ExpoForum, St Petersburg itu menghimpunkan penyertaan daripada lebih 130 negara, termasuk pemimpin kerajaan, pembuat dasar serta tokoh korporat antarabangsa.

Penyertaan Arab Saudi sebagai negara tetamu kehormat hadir pada saat kebimbangan terhadap keselamatan bekalan tenaga global semakin meningkat, susulan ketegangan berterusan di Asia Barat.

Sebagai pengeksport minyak terbesar dunia dan pemain utama dalam pasaran tenaga antarabangsa, peranan Riyadh dianggap kritikal dalam memastikan kestabilan pasaran serta kelancaran aliran perdagangan melalui Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan sebahagian besar eksport minyak dunia.

Pemerhati melihat kehadiran Arab Saudi di SPIEF bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan usaha Moscow untuk memperkukuh hubungan dengan kuasa-kuasa utama Global South dalam menghadapi perubahan susunan ekonomi dan geopolitik dunia.

SPIEF yang diasaskan pada 1997 dan dianjurkan di bawah naungan Presiden Rusia sejak 2006 merupakan platform ekonomi terbesar negara itu serta instrumen penting Moscow dalam memperluaskan kerjasama dengan negara-negara membangun di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik global.

Forum tahun ini bertemakan “Pragmatic Dialogue: The Path to a Stable Future” dan akan memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu ekonomi global, pertumbuhan ekonomi Rusia, kepimpinan teknologi serta pembangunan insan dalam era baharu.

Selain sesi utama, lebih 15 dialog dua hala melibatkan negara dan blok serantau dijadual berlangsung, dengan isu keselamatan tenaga, kedaulatan perdagangan, transformasi digital dan rantaian bekalan global dijangka menjadi antara agenda utama perbincangan.

Penasihat Presiden Rusia, Anton Kobyakov berkata, penyertaan meluas masyarakat antarabangsa membuktikan SPIEF kekal sebagai platform penting untuk membina kerjasama strategik, bertukar pandangan serta meneroka bidang kerjasama baharu.

Forum itu turut dijangka menyaksikan dialog berprofil tinggi melibatkan komuniti perniagaan Amerika Syarikat, dengan Presiden Donald Trump dilaporkan menghantar Rodney Cook sebagai wakil rasmi ke acara berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement