Skip to main content

Bisnes

SoftBank pintas Toyota sebagai syarikat paling bernilai di Jepun

61767153119_Softbank.jpg
Lonjakan saham SoftBank sebanyak 14 peratus dalam tempoh sehari didorong sentimen positif pelabur terhadap portfolio pelaburan syarikat itu dalam sektor kecerdasan buatan (AI). -Gambar fail

TOKYO: Status Toyota Motor Corp sebagai syarikat awam dengan nilai pasaran tertinggi di Jepun selama lebih dua dekad berakhir selepas dipintas oleh SoftBank Group Corp dalam sesi dagangan semalam.

Lonjakan saham SoftBank sebanyak 14 peratus dalam tempoh sehari didorong sentimen positif pelabur terhadap portfolio pelaburan syarikat itu dalam sektor kecerdasan buatan (AI).

Berikutan kenaikan tersebut, nilai pasaran SoftBank meningkat kepada AS$305.28 bilion (kira-kira RM1.21 trilion), mengatasi Toyota yang mencatatkan AS$288.56 bilion (RM1.44 trilion).

Penurunan nilai Toyota pula dikaitkan dengan penyusutan sekitar 4.5 peratus saham syarikat itu susulan tekanan dalam industri automotif global.

Penganalisis menyifatkan perkembangan ini sebagai detik penting, memandangkan Toyota telah menguasai kedudukan teratas korporat Jepun sejak Disember 2003.

Sejak awal tahun, nilai pasaran SoftBank hampir meningkat dua kali ganda hasil beberapa langkah strategik termasuk pelaburan dalam syarikat teknologi seperti OpenAI serta peningkatan nilai pegangan dalam firma reka bentuk cip, Arm.

Prestasi terbaharu ini turut membantu memulihkan keyakinan pelabur terhadap SoftBank selepas syarikat itu sebelum ini mencatatkan kerugian besar dalam beberapa pelaburan berisiko tinggi.

Antara pelaburan tersebut termasuk WeWork dan Oyo, yang memberi kesan besar kepada prestasi dana Vision Fund.

Bagaimanapun, SoftBank dilaporkan berjaya mengelakkan kerugian ketara dalam kes Wirecard selepas melupuskan pegangan melalui instrumen kewangan lebih awal.

 

Must Watch Video

Advertisement