Skip to main content

Bisnes

Samsung kembali teratas dalam pasaran telefon pintar global pada suku kedua

The logo of Samsung Electronics is seen at the company's store in Seoul, South Korea, April 15, 2025. REUTERS/Kim Hong-Ji/File Photo
Prestasi kukuh Samsung pada suku kedua didorong oleh jualan memberangsangkan siri Galaxy S26, kenaikan harga yang agak sederhana di pasaran utama, serta kempen promosi yang agresif. - REUTERS

SEOUL: Samsung Electronics Co. kembali menguasai pasaran telefon pintar global pada suku kedua tahun ini, mengatasi pesaingnya dari Amerika Syarikat (AS), Apple Inc., lapor Agensi Berita Yonhap memetik data industri pada Selasa.

Menurut Counterpoint Research, Samsung menguasai 24 peratus jumlah telefon pintar yang dipasarkan di seluruh dunia bagi tempoh April hingga Jun, manakala Apple berada di tempat kedua dengan 20 peratus.

Pada suku pertama, Apple mendahului pasaran telefon pintar global dengan menguasai 21 peratus, berbanding 20 peratus yang dicatat Samsung, menurut firma penyelidikan pasaran itu.

Counterpoint berkata prestasi kukuh Samsung pada suku kedua didorong oleh jualan memberangsangkan siri Galaxy S26, kenaikan harga yang agak sederhana di pasaran utama termasuk India dan Asia Barat, serta kempen promosi yang agresif.

Bagaimanapun, di sebalik prestasi kukuh Samsung, pasaran telefon pintar global menguncup dengan ketara pada suku kedua berikutan kekurangan cip memori yang berterusan.

Pemasaran telefon pintar global merosot 11 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, sekali gus mencatat prestasi suku kedua paling lemah sejak 2013, menurut Counterpoint.

-- BERNAMA-YONHAP

 

 

Must Watch Video

Advertisement