KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis apabila ketegangan geopolitik yang memuncak di Asia Barat meningkatkan permintaan terhadap mata wang AS susulan sentimen penghindaran risiko semakin ketara.
Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 3.9670/9770 berbanding dolar AS daripada 3.9660/9705 ketika ditutup pada Selasa.
Pasaran ditutup pada Rabu, 27 Mei, bersempena dengan cuti umum Aidiladha.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata konflik berterusan melibatkan Iran terus mempengaruhi sentimen pasaran selepas AS dilaporkan melancarkan satu lagi serangan terhadap negara itu.
Beliau berkata pada masa sama, Kuwait turut bertindak balas terhadap ancaman peluru berpandu dan dron, sekali gus menunjukkan prospek keamanan yang semakin tipis di rantau Teluk.
Ketegangan yang memuncak itu juga menyebabkan harga minyak meningkat, dengan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) naik 2.21 peratus kepada AS$90.64 setong dan minyak mentah Brent melonjak 2.26 peratus kepada AS$96.42 setong, katanya.
“Indeks Dolar AS (DXY) naik 0.12 peratus kepada 99.329 mata apabila sentimen elak risiko semakin ketara.
“Oleh yang demikian, ringgit terus berada pada trajektori lemah, bergerak antara RM3.9693 hingga RM3.9818 berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata risiko inflasi global yang tinggi juga mendorong pasaran membuat jangkaan mengenai situasi dasar monetari yang lebih ketat, yang kini dicerminkan menerusi hasil bon yang lebih tinggi.
“Oleh itu, sentimen pasaran dijangka kekal berhati-hati dalam tempoh terdekat,” katanya.
Semasa akhir dagangan hari ini, ringgit mencatatkan prestasi lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama.
Unit domestik meningkat berbanding pound British kepada 5.3272/3319 daripada 5.3470/3530 ketika ditutup pada Selasa namun, susut berbanding yen Jepun kepada 2.4947/4970 daripada 2.4917/4947.
Ringgit juga turun berbanding euro kepada 4.6181/6222 daripada 4.6172/6225.
Ringgit didagangkan rendah berbanding kebanyakan mata wang serantau ASEAN.
Mata wang tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1085/1115 daripada 3.1038/1075 pada Selasa, dan turun berbanding baht Thailand kepada 12.1613/1773 daripada 12.1485/1675.
Ringgit kurang stabil berbanding peso Filipina kepada 6.45/6.46 daripada 6.44/6.46 dan hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 222.8/223.1 daripada 222.8/223.2.
-- BERNAMA