Skip to main content

Bisnes

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS, akhiri kenaikan selama tiga hari

41703646010_duitringgit.jpg
Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 3.9655/9700 berbanding dolar AS daripada 3.9595/9630 ketika ditutup semalam. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, mengakhiri kenaikan selama tiga hari disebabkan para pelabur memberikan tumpuan kepada ketegangan geopolitik dan pendirian kecenderungan menaikkan kadar faedah oleh bank-bank pusat di seluruh dunia.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 3.9655/9700 berbanding dolar AS daripada 3.9595/9630 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit berada dalam julat kecil dengan dolar AS hari ini, berkurangan sekitar RM3.9583 hingga RM3.9688.

“Rundingan yang sedang berjalan antara AS dan Iran masih menjadi tumpuan utama manakala bank pusat di seluruh dunia nampaknya mengambil pendirian yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah,” katanya kepada Bernama.

Ringgit meningkat berbanding dolar AS sejak tiga hari lepas apabila sentimen pasaran bertambah baik disokong oleh prestasi perdagangan Malaysia yang menokok 28.6 peratus tahun ke tahun kepada paras tertinggi sebanyak RM336.73 bilion pada April 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) awal minggu ini melaporkan bahawa angka eksport lebih tinggi itu didorong kebanyakannya oleh eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) yang kukuh.

Perdagangan Malaysia mengekalkan momentum kukuh pada April 2026 dengan eksport dan import mencapai paras tertinggi walaupun terdapat ketidakpastian global memuncak termasuk ketegangan geopolitik di Asia Barat yang membawa kepada kos logistik lebih tinggi, gangguan rantaian bekalan dan turun naik harga komoditi.

MITI juga memaklumkan bahawa eksport meneruskan momentum pertumbuhan untuk bulan ke-10 berturut-turut, melonjak 36.9 peratus kepada rekod RM182.74 bilion, mengatasi paras tertinggi sebelumnya iaitu RM152.77 bilion dicatatkan pada Disember 2025 sebanyak RM30 bilion, manakala import meningkat 20 peratus kepada RM153.99 bilion.

Pada penutupan, ringgit kebanyakannya diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan merosot berbanding yen Jepun kepada 2.4925/4954 daripada 2.4906/4929 ketika ditutup pada Khamis, menguncup berbanding pound Britain kepada 5.3245/3305 daripada 5.3220/3267 sebelumnya, bagaimanapun menambah berbanding euro kepada 4.6012/6064 daripada 4.6037/6078 penutupan semalam.

Pada masa sama, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0985/1023 daripada 3.0967/0997 ketika ditutup pada Khamis, turun berbanding baht Thailand kepada 12.1421/1611 daripada 12.1304/1468 semalam namun naik berbanding rupiah Indonesia kepada 223.8/224.1 daripada 224.1/224.4 sebelum itu.

Dalam pada itu, ia tidak hampir berubah berbanding peso Filipina pada 6.42/6.44 daripada 6.43/6.44 sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement