Skip to main content

Bisnes

Perdagangan Malaysia catat rekod bersejarah RM1.127 trilion bagi tempoh Januari-April 2026

51681983156_TBpelabuhanklang.jpg
MATRADE menyatakan eksport melonjak 19 peratus kepada RM609.31 bilion manakala import meningkat 11.1 peratus kepada RM517.40 bilion, sekali gus mencatatkan nilai tertinggi yang pernah direkodkan sepanjang tempoh berkenaan. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Jumlah perdagangan Malaysia melonjak 15.3 peratus tahun ke tahun kepada RM1.127 trilion bagi tempoh Januari hingga April 2026 sekali gus mencipta sejarah baharu, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Prestasi itu dipacu oleh lonjakan permintaan terhadap produk pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) serta strategi kepelbagaian pasaran yang terancang.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, MATRADE menyatakan eksport melonjak 19 peratus kepada RM609.31 bilion manakala import meningkat 11.1 peratus kepada RM517.40 bilion, sekali gus mencatatkan nilai tertinggi yang pernah direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.

"Ini menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM91.92 bilion, lonjakan luar biasa sebanyak 99.1 peratus yang secara efektif menggandakan prestasi tahun sebelumnya," jelasnya.

MATRADE menambah Malaysia menunjukkan daya tahan sektor luaran yang luar biasa meskipun di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang semakin meruncing di Asia Barat.

Pengembangan eksport dalam tempoh Januari hingga April 2026 dipacu oleh permintaan kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) yang berkembang sebanyak RM71 bilion atau 32.1 peratus, disokong oleh ledakan semikonduktor global yang dirancakkan lagi oleh penerapan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan serta pembesaran pusat data.

Paling utama, Malaysia mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian nilai AI global dengan eksport produk yang menyokong AI melonjak 42.9 peratus kepada RM319.05 bilion yang kini menguasai lebih separuh (52.4 peratus) daripada jumlah keseluruhan eksport negara.

Selain itu, produk farmaseutikal dan automotif memberikan dimensi tambahan kepada naratif HGHV dengan masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua angka iaitu sebanyak 21.9 peratus dan 10.3 peratus.

Ini selaras dengan keutamaan strategik Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) terhadap industri HGHV termasuk semikonduktor, teknologi peralihan tenaga serta sektor-sektor yang dipacu oleh ekonomi digital.

Sementara itu, April 2026 turut memberikan keputusan yang luar biasa dengan eksport bulanan melonjak 36.9 peratus kepada RM182.74 bilion dan lebihan dagangan bulanan lebih tinggi iaitu sebanyak 460.5 peratus kepada RM28.75 bilion, nilai tertinggi yang pernah direkodkan dalam sejarah perdagangan Malaysia.

Ini sekali gus memperkukuh momentum yang memacu enjin perdagangan negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Abu Bakar Yusof berkata lonjakan dalam produk yang menyokong AI dan eksport semikonduktor mengesahkan bahawa industri Malaysia bertapak kukuh dalam rantaian bekalan teknologi yang membentuk ekonomi global.

"MATRADE kekal komited untuk membimbing para pengksport dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia untuk melonjak naik dalam rantai nilai bagi memastikan kita bukan sahaja menguasai pasaran, malah meraih peluang yang mempunyai nilai tertinggi di dalamnya," katanya.

Menurut MATRADE, eksport ke Amerika Syarikat meningkat 32.5 peratus, Taiwan (+68.9 peratus), Hong Kong (+43.0 peratus), China (+18.7 peratus), Kesatuan Eropah (+23.9 peratus) dan ASEAN (+8.6 peratus) yang sebahagiannya dipacu oleh penghantaran produk E&E.

Eksport ke rakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) meningkat 14.2 peratus kepada RM390.09 bilion dengan 17 daripada 24 negara FTA mencatatkan pertumbuhan positif termasuk Korea Selatan, India, Mexico, United Kingdom, Australia dan New Zealand.

Paling ketara, kepelbagaian perdagangan Malaysia memasuki fasa pertumbuhan tinggi yang melangkaui tonggak tradisionalnya.

Pasaran sedang membangun mencatatkan pertumbuhan eksponen dengan Republik Demokratik Congo (+196.6 peratus), Sudan (+223.1 peratus), Zimbabwe (+220.5 peratus), Bulgaria (+141.6 peratus), Haiti (+103.5 peratus), Ethiopia (+88.1 peratus) dan Uzbekistan (+29.7 peratus) menerajui lonjakan tersebut.

"Ini mencerminkan pengembangan sistematik jejak perdagangan Malaysia ke pasaran berpertumbuhan tinggi dan kurang mendapat perkhidmatan di seluruh Afrika serta Eropah Timur," katanya.

Jelasnya, strategi kepelbagaian Malaysia juga berada di landasan yang betul.

"Walaupun pasaran teras kita kekal kukuh, pertumbuhan eksponen yang kita saksikan di ekonomi sempadan di Afrika, Amerika Latin dan Eropah Timur memberi isyarat bahawa para pengksport Malaysia sedang melangkah masuk dengan penuh yakin ke pasaran baharu.

"Dalam era ketidaktentuan perdagangan global ini, daya tahan geografi bukan sekadar langkah berhati-hati secara strategik. Kita melangkah melangkaui pasaran tradisional bagi memastikan Malaysia kekal penting dan tidak boleh diabaikan dalam rantaian bekalan global," kata Abu Bakar.

MATRADE menyatakan trajektori perdagangan Malaysia bagi 2026 kekal teguh, dipacu oleh gabungan momentum sektor HGHV, kepelbagaian pasaran yang disasarkan serta kebolehsuaian strategik dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik.

Ini sekali gus meletakkan Malaysia sebagai penggiat yang yakin dan berdaya tahan dalam landskap perdagangan global, menurut MATRADE.

Jelasnya, agensi tersebut akan terus menyokong para pengksport Malaysia untuk meraih peluang-peluang baharu yang muncul, memanfaatkan perjanjian perdagangan dan menembusi dengan kukuh segmen bernilai tinggi dalam rantaian bekalan global.

--BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement