Skip to main content

Bisnes

Penggunaan EV dijangka meningkat, dipacu model mampu milik - HLIB

61633420823_KenderaanElektrik.jpg
HLIB menjelaskan jualan EV antara Januari hingga dan Mei tahun ini mencecah 25,500 unit, meningkatkan bahagian pasarannya kepada 8.1 peratus berbanding 3.8 peratus pada 2025. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Trend elektrifikasi dalam sektor automotif dijangka meningkat pada separuh kedua 2026, disokong oleh model kenderaan elektrik (EV) mampu milik dan infrastruktur pengecasan yang semakin meluas, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

Dalam nota penyelidikan pada Jumaat, bank pelaburan itu menjelaskan jualan EV antara Januari hingga dan Mei tahun ini mencecah 25,500 unit, meningkatkan bahagian pasarannya kepada 8.1 peratus berbanding 3.8 peratus pada 2025.

Pasaran EV dijangka dibentuk semula oleh semakan dasar EV yang dipasang siap di luar negara (CBU) oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), berkuat kuasa 1 Julai, 2026.

Berdasarkan dasar itu, EV CBU dihadkan kepada model dengan nilai kos, insurans dan pengangkutan (CIF) minimum sebanyak RM200,000 serta output kuasa motor minimum 180 kilowatt (kW).

"Walaupun ini mengurangkan ketersediaan EV CBU mampu milik namun, pembuat peralatan tulen (OEM) masih boleh melakukan penyetempatan pengeluaran melalui pemasangan tempatan (CKD).

"Secara keseluruhan, dasar ini dijangka memberikan manfaat kepada OEM negara, terutama Proton dan Perodua," menurutnya.

HLIB memaklumkan jumlah keseluruhan industri (TIV) pada 2026 diunjurkan kekal berdaya tahan pada 780,000 unit, disokong oleh pelancaran model baharu, persekitaran kadar faedah yang akomodatif, dan kempen jualan yang kompetitif.

Menurut bank pelaburan itu persaingan antara OEM berkemungkinan semakin sengit apabila OEM China mengembangkan kehadiran mereka melalui produk dengan harga yang kompetitif, seterusnya memberi tekanan kepada OEM Jepun, Korea dan Eropah yang kukuh.

"Bagaimanapun, jenama negara dijangka mengekalkan bahagian pasaran dominan masing-masing, disokong oleh rangkaian model mampu milik dan rangkaian pengedar yang luas," tambahnya.

Oleh itu, HLIB mengekalkan saranan “overweight” terhadap sektor automotif, berdasarkan keuntungan yang berdaya tahan dan dividen yang menarik merentas syarikat yang berada di bawah liputannya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement