Skip to main content

Bisnes

Moody's kekalkan penarafan A3 Malaysia, cerminkan keyakinan terhadap profi kredit negara

41742906883_HBREAKEKONOMINEGARA.jpg
Penilaian Moody's mencerminkan daya tahan ekonomi Malaysia serta kemajuan dicapai dalam memperkukuh disiplin fiskal, menambah baik tadbir urus, dan meluaskan asas hasil. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Moody's Ratings (Moody’s) telah mengekalkan penarafan penerbit mata wang tempatan dan asing jangka panjang Malaysia pada A3 dengan tinjauan stabil, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap profil kredit Malaysia, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Kementerian itu memaklumkan bahawa Moody's juga menjangkakan Malaysia menjadi ekonomi yang berkembang paling pantas dalam kalangan negara lain setaraf mendapat penarafan A pada 2026, disokong oleh kepelbagaian ekonominya dan berdaya saing, prospek pertumbuhan jangka sederhana kukuh, limpahan sumber semula jadi dan simpanan domestik yang besar.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penilaian Moody's mencerminkan daya tahan ekonomi Malaysia serta kemajuan dicapai dalam memperkukuh disiplin fiskal, menambah baik tadbir urus, dan meluaskan asas hasil.

“Penilaian ini sepatutnya memperkukuh tekad kita dan tidak seharusnya berpuas hati. Banyak lagi yang perlu dilakukan bagi memastikan pengurusan ekonomi yang sihat dirasai dalam pendapatan, peluang, dan kehidupan harian rakyat.

“Dalam persekitaran ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan ketidaktentuan berterusan dalam pasaran global, Malaysia mesti memelihara kestabilan domestik, kepastian dasar, dan momentum pembaharuan. Kerajaan akan kekal fokus untuk melindungi ekonomi dan memperkukuh asas bagi pertumbuhan mampan, kata perdana menteri.

Menurut Moody’s, ekonomi Malaysia yang lebih kukuh sebanyak 5.4 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2026 (Suku 1 2026) adalah disebabkan lonjakan permintaan domestik, terutamanya penggunaan swasta dan pelaburan, serta sumbangan yang lebih kukuh daripada eksport elektronik.

Ia juga mengiktiraf bahawa pembaharuan terhadap hasil yang dilaksanakan sejak 2023 telah meluaskan asas hasil cukai secara mencukupi untuk mengekalkan penyolideran fiskal secara beransur-ansur, walaupun perbelanjaan subsidi lebih tinggi berikutan peningkatan harga tenaga global dan perbelanjaan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) (2026-2030).

Agensi penarafan itu turut menekankan keteguhan institusi eksekutif dan perundangan Malaysia, rekod prestasi penggubalan dasar makroekonomi yang berkesan, keadaan pembiayaan domestik menguntungkan, serta kestabilan makroekonomi.

Tinjauan stabil itu mencerminkan risiko yang seimbang terhadap profil kredit Malaysia, manakala prestasi ekonomi yang lebih kukuh dan pengukuhan fiskal lebih pantas dapat menyokong penjanaan hasil yang lebih tinggi, pengurangan hutang yang ketara, serta keupayaan membayar hutang yang bertambah baik, menurut MoF.

Selain daripada penilaian Moody's, petunjuk ekonomi Malaysia yang lebih menyeluruh turut menunjukkan asas ekonomi negara yang semakin kukuh.

MoF memaklumkan bahawa kadar pengangguran turun kepada 2.9 peratus pada suku pertama 2026, paras terendah dalam tempoh lebih sedekad, berikutan jumlah guna tenaga meningkat kepada 16.7 million orang dan 48,500 pekerjaan baharu diwujudkan sepanjang tempoh tersebut.

Malaysia juga menokok lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2026, kedudukan tertinggi dicatatkan sejak 2020.

Malaysia mengekalkan kedudukan global di tempat keempat dalam Prestasi Ekonomi dan mencatatkan peningkatan dalam Kecekapan Kerajaan, Kecekapan Perniagaan dan Infrastruktur.

Sementara itu, ringgit meningkat nilai sebanyak 10.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2025, menjadikannya mata wang dengan prestasi paling kukuh di Asia bagi tahun tersebut.

“Kerajaan MADANI kekal komited terhadap objektif fiskal ditetapkan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850).

“Ia akan terus meluaskan asas hasil, meningkatkan kecekapan perbelanjaan, memperkukuh ketelusan fiskal, dan menyasarkan subsidi dengan lebih baik, selain daripada melindungi kebajikan rakyat, menurut MoF.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement