Skip to main content

Bisnes

Lebih 54,000 pekebun kecil sawit Johor miliki Pensijilan MSPO

Pejabat Menteri
Noraini berkata lebih 54,000 pekebun kecil sawit di Johor menerima pensijilan MSPO, mencerminkan komitmen terhadap amalan mampan serta usaha kerajaan memperkukuh daya saing industri sawit negara.

BATU PAHAT: Lebih 54,000 pekebun kecil sawit di Johor telah memperoleh Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), sekali gus membuktikan komitmen negeri itu dalam memperkukuh kedudukan industri sawit mampan negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, pencapaian itu amat penting memandangkan Johor mempunyai lebih 62,000 pekebun kecil sawit yang mengusahakan kawasan tanaman melebihi 150,000 hektar.

Menurut beliau, bagi daerah Batu Pahat sahaja, lebih 16,000 pekebun kecil telah disijilkan MSPO, sekali gus menunjukkan tahap kesedaran dan penyertaan yang baik dalam kalangan pekebun kecil di kawasan itu.

“Ini bukan jumlah yang kecil. Ini menunjukkan betapa besarnya peranan pekebun kecil Johor kepada industri sawit negara,” katanya ketika berucap pada Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Kelapa Sawit Daerah Batu Pahat di Dewan Peladang Sri Medan, hari ini.

Noraini berkata, MSPO bukan sekadar urusan pensijilan atau dokumen, sebaliknya menjadi bukti bahawa kebun sawit diusahakan secara baik, teratur dan bertanggungjawab.

Katanya, pensijilan itu penting bagi memastikan sawit Malaysia terus diterima di pasaran dunia, terutama ketika negara luar semakin menuntut jaminan terhadap amalan mampan, penjagaan alam sekitar dan pematuhan peraturan.

“MSPO ini bukan untuk menyusahkan pekebun kecil. Ia untuk mempertahankan masa depan sawit kita. Bila sawit Malaysia terus diterima, pekebun kecil juga akan mendapat manfaat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan melalui MPOB dan agensi berkaitan akan terus membantu pekebun kecil yang belum melengkapkan pensijilan MSPO supaya proses berkenaan dapat dipermudahkan.

Pada masa sama, Noraini berkata, pekebun kecil tidak boleh dibiarkan bergerak bersendirian, sebaliknya perlu terus dibantu melalui maklumat, latihan, khidmat nasihat, bantuan tanam semula, kemudahan jalan ladang, koperasi dan sokongan yang bersesuaian.

Bagi daerah Batu Pahat, sebanyak 222 permohonan di bawah Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 telah diluluskan, melibatkan keluasan lebih 430 hektar.

Selain itu, sebanyak sembilan projek jalan ladang turut diluluskan di daerah berkenaan dengan peruntukan melebihi RM1.8 juta bagi membantu melancarkan urusan pekebun kecil membawa keluar hasil.

Noraini berkata, jalan ladang yang baik amat penting kerana ia membantu mengurangkan kos, mempercepatkan penghantaran buah sawit ke pusat timbang atau kilang, serta memudahkan urusan harian pekebun kecil.

“Jalan ladang bukan sekadar jalan. Jalan ladang adalah laluan rezeki pekebun kecil,” katanya.

Beliau turut menyeru pekebun kecil supaya memanfaatkan koperasi seperti Koperasi Penanam Sawit Mampan atau KPSM bagi membolehkan mereka bergerak secara berkumpulan, memperkukuh urusan jualan buah tandan segar dan mendapatkan sokongan yang lebih tersusun.

Katanya, dalam keadaan dunia yang tidak menentu akibat krisis geopolitik, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos baja, makanan dan logistik, sektor komoditi termasuk sawit perlu terus diperkukuh.

“Sawit bukan sekadar minyak masak. Sawit ada dalam makanan, bahan industri, biodiesel, produk harian dan rantaian ekonomi yang luas. Sebab itu industri sawit mesti terus kuat, dan kalau sawit mahu kuat, pekebun kecil mesti diperkasakan,” katanya.

Noraini berkata, kerajaan tidak mahu pekebun kecil tercicir, sebaliknya mahu mereka terus maju, meningkatkan hasil kebun, menambah pendapatan keluarga dan memastikan sawit Malaysia terus diyakini dunia.

Must Watch Video

Advertisement