Skip to main content

Bisnes

Ketidaktentuan ketara tuntut syarikat kenal pasti cabaran operasi, risiko baharu

BANGI, 7 April -- Ketua Ahli Ekonomi Ambank Group Firdaos Rosli pada Program Bicara Persada bartajuk "Krisis Asia Barat, Implikasi Ekonomi Apa langkah Malaysia" di Bilik Senat, Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Firdaos berkata, ekonomi Malaysia dijangka terus berdaya tahan walaupun pertumbuhan berkemungkinan menyederhana dalam suku-suku mendatang ketika inflasi beransur-ansur meningkat di tengah-tengah kenaikan harga tenaga dan gangguan rantaian bekalan. - Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Kalangan syarikat di Malaysia perlu bertindak mengenal pasti cabaran operasi masing-masing sebelum mengambil sebarang keputusan strategik susulan ketidaktentuan landskap perniagaan yang makin ketara.

Ketika berkongsi pandangan itu, Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group, Firdaos Rosli berkata, syarikat tidak lagi boleh beroperasi seperti sebelum ini memandangkan ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan perubahan risiko, memerlukannya menjadi lebih tangkas dan berdaya tahan.

“Perkara pertama yang perlu difahami oleh syarikat adalah titik sukar atau cabaran masing-masing. Perniagaan pada masa sekarang tidak lagi seperti dahulu...syarikat perlu sedar mengenai risiko baharu yang hadir setiap hari,” katanya pada sesi 'AmBank BizDialogue Market Outlook Series: Middle East in Focus' diadakan secara maya, pada Jumaat.

Berlatar belakang keadaan itu, Firdaos berkata, ekonomi Malaysia dijangka terus berdaya tahan walaupun pertumbuhan berkemungkinan menyederhana dalam suku-suku mendatang ketika inflasi beransur-ansur meningkat di tengah-tengah kenaikan harga tenaga dan gangguan rantaian bekalan.

“Kami menjangkakan pertumbuhan menyederhana dalam tempoh beberapa suku mendatang dan keadaan ini akan membawa kepada peningkatan inflasi.

“(Tahap) pengangguran mungkin meningkat sedikit tetapi bukanlah ke paras membahayakan manakala pertumbuhan pinjaman akan kelihatan agak stabil,” katanya.

Pada suku pertama 2026, ekonomi Malaysia tumbuh 5.4 peratus tahun ke tahun manakala purata +inflasi keseluruhan pada 1.6 peratus dan pengangguran kekal pada kadar 3.0 peratus.

Firdaos berkata, keseimbangan risiko masih cenderung ke arah penurunan, termasuk Selat Hormuz yang terus menjadi antara risiko luaran yang terbesar untuk Malaysia dan sebarang gangguan berpanjangan akan mendorong lonjakan harga bahan api, kos operasi dan inflasi yang diimport.

Sehubungan itu, beliau menggesa syarikat dan perniagaan untuk bekerjasama erat dengan pihak bank, bukan setakat sebagai penyedia kewangan tetapi rakan strategik yang dapat membantu mereka menilai risiko, memperkukuh daya tahan dan mengenal pasti peluang bagi pertumbuhan lebih mampan.

Beliau berkata, maklum balas syarikat yang dikumpulkan oleh pihak bank, turut disalurkan kepada Bank Negara Malaysia, sekali gus membolehkan pembuat dasar dan kerajaan memahami cabaran industri dengan lebih mendalam dan bertindak merangka langkah sokongan yang wajar.

Berkongsi pandangan sama agar perniagaan menjadi lebih terbuka kepada perubahan dan melakukan penyesuaian, Seah Kian Hoe yang juga Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat kitar semula plastik bersepadu Heng Hiap Industries Sdn Bhd (HHI) berkata, perusahaan perlu merangka pelan luar jangka bagi rantaian bekalan mereka dan meneliti model perniagaan secara berterusan bagi mengurus ketidaktentuan ketara.

Menurutnya, ini berikutan perniagaan secara tradisonalnya beroperasi dalam persekitaran yang secara relatifnya stabil dengan tumpuan terhadap kecekapan dan skala menjadi keutamaan.

Namun, jelasnya, dinamik landskap masa kini memerlukan syarikat untuk menjadi lebih fleksibel serta mampu memberi tindak balas.

“Syarikat perlu sentiasa menilai semula model perniagaan dan berganjak daripada model yang tetap kepada lebih dinamik,” katanya.

Pada masa sama, kalangan pengeluar perlu menggunapakai strategi pembuatan dan penetapan harga yang lebih dinamik agar dapat bertindak balas pantas terhadap perubahan permintaan pelanggan dan tidak hanya menumpukan aspek kecekapan operasi.

Seah berkata ketidaktentuan itu juga perlu dilihat sebagai peluang untuk mencipta nilai.

Sebagai contoh, sewaktu kekangan bekalan, HHI menumpukan penawaran jaminan ketersediaan bekalan sambil memperkukuh pensijilan produk serta kredibiliti kelestarian, sekali gus meletakkan bahan kitar semula sebagai penyelesaian nilai tambah dan bukan sekadar alternatif penjimatan kos.

Perniagaan juga, katanya, perlu bertindak berani dengan meneruskan pelaburan dalam keupayaan jangka panjang sambil menguruskan cabaran semasa.

“Syarikat perlu bertindak menangani cabaran sambil membangunkan perniagaan,” katanya.

Seah turut menggesa agar usaha penyetempatan rantaian bekalan yang lebih ketara menerusi kerjasama erat dengan pengeluar dan pihak kitar semula tempatan untuk mengukuhkan keupayaan perindustrian domestik selain mengurangkan kebergantungan terhadap bahan import.

Syarikat juga perlu bekerjasama lebih erat dengan persatuan industri dan agensi kerajaan, di samping mempercepat pelaburan penyelesaian tenaga boleh baharu seperti tenaga solar dan sistem penyimpanan tenaga bateri bagi melonjakkan daya tahan serta daya saing jangka panjang.

Di peringkat serantau, beliau berkata, kerjasama ASEAN yang lebih erat akan menjadi semakin penting dalam pengukuhan rantaian bekalan serantau selain mengupayakan perniagaan untuk lebih memahami gangguan masa depan sambil merebut peluang pertumbuhan baharu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement