Skip to main content

Bisnes

Karnival HPM 2026 Melaka catat padanan perniagaan, potensi pembiayaan RM8.45 juta

TB_KARNIVAL HEBATKAN PERNIAGAAN_KUSKOP
Karnival HPM merupakan antara inisiatif di bawah agenda Hebatkan Perniagaan Malaysia yang diperkenalkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim (tengah) bagi menyokong pelaksanaan misi strategik ABCD ke arah memperkukuh pembangunan perusahaan tempatan. -Foto KUSKOP

KUALA LUMPUR: Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 yang berlangsung selama tiga hari di Melaka berjaya mencapai sasaran impak tinggi apabila merekodkan nilai keseluruhan padanan perniagaan dan potensi pembiayaan berjumlah RM8.45 juta.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam kenyataan memaklumkan karnival yang berlangsung dari 19 hingga 21 Jun itu turut menarik kehadiran kira-kira 70,000 pengunjung.

Selain itu, program berkenaan mencatatkan jualan langsung produk usahawan sebanyak RM532,802.77 sepanjang tempoh penganjuran.

"Sebanyak RM6.4 juta nilai padanan perniagaan berjaya dijana menerusi 72 sesi padanan melibatkan 25 usahawan berpotensi.

“Sebanyak 55 syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) turut meraih manfaat menerusi sesi interaksi kewangan yang merekodkan jumlah potensi pembiayaan bernilai RM2.05 juta,” menurut KUSKOP dalam kenyataan pada Selasa.

Jelas kementerian itu lagi, kejayaan penganjuran di Melaka mencerminkan keberkesanan Karnival HPM sebagai platform yang menghubungkan usahawan dengan rakan strategik perniagaan serta institusi kewangan bagi memperluaskan peluang pertumbuhan dan pembangunan perusahaan tempatan.

Susulan sambutan memberangsangkan itu, KUSKOP memaklumkan siri ketiga Karnival HPM 2026 dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 19 Julai depan di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), Pulau Pinang.

Karnival HPM merupakan antara inisiatif di bawah agenda Hebatkan Perniagaan Malaysia yang diperkenalkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, bagi menyokong pelaksanaan misi strategik ABCD ke arah memperkukuh pembangunan perusahaan tempatan.

Melalui inisiatif itu, PMKS dan koperasi diberikan platform bersepadu untuk meningkatkan kapasiti perniagaan, memperluas jaringan strategik serta meneroka peluang pertumbuhan baharu dalam pasaran yang lebih kompetitif.

 

Must Watch Video

Advertisement