Skip to main content

Malaysia

Lebih RM100,000 berjaya dikutip, Pak Nil buka jalan, rakyat Malaysia hulur kasih buat anak Amyza Aznan

Aznil Nawani, Adrian Adam, Amyza Aznan -- Instagram
Tabung yang dibuka oleh Aznil (kiri) selama lebih 50 jam itu berjaya mengumpul RM137,127.90 hasil sumbangan rakyat Malaysia, termasuk penyumbang dari luar negara yang tampil menghulurkan bantuan kepada Adrian Adam (tengah) yang juga anak kepada pelakon Amyza Aznan.

KUALA LUMPUR: Rasa syukur menyelubungi hati pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi apabila usaha kutipan tabung kilat bagi membantu anak pelakon Amyza Aznan yang menghidap kanser tulang berjaya mengumpul lebih RM137,000 dalam tempoh singkat.

Perkembangan itu dikongsikan Aznil menerusi podcast Kita Kita Aje di YouTube, sekali gus menjadi bukti keprihatinan masyarakat yang tidak pernah pudar terhadap mereka yang diuji.

Menurut Aznil, atau lebih mesra disapa Pak Nil, tabung yang dibuka selama lebih 50 jam itu berjaya mengumpul RM137,127.90 hasil sumbangan rakyat Malaysia, termasuk penyumbang dari luar negara yang tampil menghulurkan bantuan kepada Adrian Adam.

Beliau menyifatkan sokongan yang diterima sebagai satu manifestasi kasih sayang dan solidariti rakyat terhadap keluarga yang sedang berdepan ujian besar.

Dalam masa sama, Aznil memaklumkan kesemua sumbangan berkenaan akan disalurkan terus ke akaun Amyza bagi membantu menampung kos rawatan anaknya.

Namun begitu, orang ramai yang masih ingin menghulurkan bantuan diberi ruang untuk berbuat demikian sebelum tabung berkenaan ditutup secara rasmi dalam masa terdekat.

Perkongsian itu turut menyentuh hati ramai, dengan warga maya menzahirkan penghargaan terhadap usaha Aznil selain terkesan melihat keprihatinan masyarakat yang terus berganding bahu membantu meringankan beban keluarga berkenaan.

Dalam keperitan yang dihadapi, sinar harapan terus hidup – dibina atas empati, doa dan sokongan yang tidak putus-putus daripada rakyat Malaysia.

Must Watch Video

Advertisement