NEW YORK: Penyanyi ternama dunia, Taylor Swift, 36, dan bintang bola sepak Amerika, Travis Kelce, 36, selamat diijabkabulkan dalam satu majlis perkahwinan gilang-gemilang yang berlangsung di Madison Square Garden (MSG), Manhattan, pada Jumaat.
Majlis yang berlangsung secara tertutup itu turut menyaksikan pelakon terkenal Adam Sandler tampil sebagai pengacara majlis perkahwinan, sekali gus menjadi kejutan kepada para tetamu yang hadir.
Segala teka-teki mengenai perkahwinan pasangan itu berakhir apabila papan tanda elektronik di luar arena terkenal berkenaan memaparkan mesej “JUST T MARRIED” sejurus majlis selesai.
Menurut wakil publisiti Swift, Tree Paine, pasangan itu memilih untuk tidak melantik pengapit pengantin seperti kebiasaan.
Sebaliknya, adik-beradik mereka memainkan peranan penting dalam majlis berkenaan dengan abang Swift bertindak sebagai pengiring utama pengantin perempuan, manakala abang Kelce, Jason Kelce, menjadi pengapit pengantin lelaki.
Busana pengantin direka khas oleh Christian Dior Haute Couture di bawah sentuhan pereka fesyen Jonathan Anderson.
Swift turut mengenakan kasut tempahan khas Christian Louboutin serta perhiasan mewah Cartier.
Perkahwinan yang menyatukan dua figura berpengaruh dari dunia hiburan dan sukan itu berlangsung dalam suasana penuh eksklusif, namun tetap menarik perhatian ribuan peminat yang berkumpul di luar MSG meskipun cuaca panas terik.
Gabungan populariti Swift sebagai ikon muzik global dan Kelce sebagai antara pemain paling tersohor dalam Liga Bola Sepak Kebangsaan (NFL) Amerika Syarikat menjadikan majlis berkenaan antara acara selebriti paling dinantikan tahun ini.
Antara selebriti yang dilihat hadir termasuk penyanyi Camila Cabello, pelakon Hugh Grant, Ethan Hawke dan Jason Sudeikis serta model Karlie Kloss.
Turut menghadiri majlis itu ialah beberapa bintang NFL termasuk rakan sepasukan Kelce dari Kansas City Chiefs, Kareem Hunt. Pemain Seattle Seahawks, Cooper Kupp; pemain New York Giants, JuJu Smith-Schuster; pengulas NFL, Joe Buck; serta penulis novel popular The Summer I Turned Pretty, Jenny Han, juga dilihat memasuki arena tersebut.
Di luar lokasi, deretan kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam membawa tetamu berpakaian sut dan gaun malam mewah, manakala peminat Swift atau dikenali sebagai Swifties membanjiri kawasan sekitar bagi merasai kemeriahan acara itu dari jauh.
Walaupun beberapa pelancong mengakui penutupan jalan raya dan laluan pejalan kaki menyukarkan pergerakan mereka, ramai yang tetap teruja untuk menyaksikan sendiri suasana luar biasa di sekitar venue berkenaan.
Seorang penduduk New York, Diana Warshavsky berkata, dia sengaja datang ke MSG untuk meraikan hari bahagia pasangan itu bersama peminat lain.
“Saya hampir sebaya dengannya, cuma setahun lebih tua dan saya juga baru berkahwin tahun ini. Saya benar-benar gembira untuknya,” katanya.
Hubungan Swift dan Kelce terus mencuri perhatian peminat di seluruh dunia sejak pasangan itu mula bercinta pada 2023.
Kisah cinta mereka bukan sahaja menjadi topik hangat dalam kalangan peminat muzik dan sukan, malah turut mendapat liputan meluas media antarabangsa.
Sejak itu, pasangan berkenaan sering menjadi tumpuan setiap kali muncul bersama, menjadikan mereka antara pasangan selebriti paling berpengaruh dan popular di dunia. - Agensi