Skip to main content

Gaya Hidup

[KOLUMNIS] Karya Halil Ali 'Little People: Beneath Giant Shadows' tawan juri antarabangsa

HALIL ALI
Menerusi 'Little People: Beneath Giant Shadows', Halil Ali berjaya menggabungkan pengalaman dalam dunia maritim, pendidikan, imaginasi dan kreativiti menjadi satu kisah fiksyen yang luar biasa.

INTERNATIONAL Author Excellence Award (IAEA) merupakan sebuah pengiktirafan berprestij pada peringkat antarabangsa yang diwujudkan bagi menghargai kecemerlangan pengkarya, penyelidik dan tokoh intelektual yang telah memberikan sumbangan yang signifikan terhadap dunia penulisan, penerbitan serta pembangunan ilmu. Anugerah ini menjadi wadah untuk mengiktiraf karya-karya berkualiti tinggi yang bukan sahaja memperkaya khazanah ilmu dan persuratan, malah memberi impak yang positif kepada masyarakat sehingga merentas sempadan budaya, bahasa dan negara.

Dalam era globalisasi yang menyaksikan perkembangan pesat industri penerbitan dan teknologi digital, peranan penulis semakin penting sebagai pencetus idea, pemelihara warisan budaya serta agen perubahan sosial. Oleh yang demikian, IAEA diwujudkan bagi mengangkat martabat profesion kepengarangan, menggalakkan budaya penghasilan karya bermutu serta memperkukuh jaringan kerjasama antara penulis, penerbit, institusi pendidikan dan organisasi kebudayaan di seluruh dunia.

Anugerah ini turut menjadi platform untuk mengetengahkan pengarang baharu di samping mengiktiraf tokoh penulisan mapan yang telah membuktikan kecemerlangan melalui penghasilan karya kreatif, ilmiah, akademik mahupun karya yang memberi manfaat kepada pembangunan masyarakat. Penilaian lazimnya mengambil kira aspek keaslian idea, kualiti penulisan, impak terhadap pembaca, sumbangan kepada perkembangan ilmu dan budaya serta pencapaian profesional dalam bidang kepengarangan. 

Halil Ali anak kelahiran Pontian, Johor telah mengharumkan nama Malaysia apabila novel terbaharunya “Little People: Beneath Giant Shadows” telah diiktiraf sebagai pemenang kategori Golden Book Award 2026 dalam IAEA. Kemenangan ini membuktikan bahawa penulis Malaysia mempunyai daya kepengarangan dan intelektual yang tinggi yang setanding dengan pengarang negara lain pada peringkat antarabangsa. 

Selain novel “Little People: Beneath Giant Shadows”, beliau telah menghasilkan novel berbahasa Melayu, iaitu “Berlabuh di Hujung Senja” (2008), “Pabila Warna-warna Bertemu” (2010) dan “Kulaan” (2016). Bakat penulisan kreatif beliau tidak harus dipandang sepi walaupun beliau memulakan kerjaya menulis secara serius pada lewat usia 40-an. Lewat pada usia namun tidak pada semangat penulisannya. Hal yang sama juga pernah berlaku terhadap Frances Trollope yang menghasilkan karya pertamanya pada usia 52 tahun dan sepanjang hayatnya beliau berjaya menerbitkan 40 judul buku termasuk 34 daripadanya ialah genre novel (victorianweb.org). 

Halil Ali yang berkelulusan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan merupakan pensyarah dalam bidang maritim di sebuah institut pengajian tinggi swasta. Beliau cenderung menulis karya fiksyen yang bertemakan kemasyarakatan, kemanusiaan, perjuangan, kelestarian alam dan kearifan tempatan.
Kejayaan “Little People: Beneath Giant Shadows” telah membuka mata masyarakat antarabangsa betapa Malaysia merupakan sebuah negara yang harmoni melalui watak berbilang bangsa dan keindahan hutan semula jadi yang mampu menonjolkan Gunung Pulai di Johor sebagai latar yang strategik.
 
Pengalaman beliau dalam bidang maritim dan penulisan karya kreatif digabungjalinkan dengan sangat baik apabila novel ini berjaya mengangkat kisah ekofantasi yang bukan sahaja sesuai dibaca oleh kelompok dewasa malahan untuk bacaan remaja dan kanak-kanak. Gabungan elemen mitos dan fantasi, warisan alam semula jadi di Malaysia dan unsur pengembaraan berjaya menjadikan novel ini sebuah naratif yang bersifat sejagat. Kejayaan yang diraih pada peringkat global ini membuktikan bahawa potensi karya penulis Malaysia untuk menembusi industri penerbitan buku antarabangsa bukanlah sesuatu yang mustahil. 

Kekuatan novel ini terletak pada plot penceritaan yang menarik mengenai komuniti kecil yang tersembunyi yang dikesan di dalam hutan Gunung Pulai, iaitu Silungites sehingga berjaya menyampaikan mesej yang jelas tentang kelestarian biodiversiti, keharmonian bangsa, budaya tempatan, dan perkembangan teknologi dan inovasi. Beliau berjaya menggabungkan pengalaman dalam dunia maritim, pendidikan, imaginasi dan kreativiti menjadi satu kisah fiksyen yang luar biasa.

Melalui penganjuran IAEA, diharapkan lebih ramai penulis Malaysia terdorong untuk menghasilkan karya yang berintegriti, inovatif dan berdaya saing pada peringkat antarabangsa. Pada masa yang sama, anugerah ini memperkukuh pengiktirafan terhadap kepengarangan sebagai bidang profesional yang memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran masyarakat, memelihara identiti budaya serta menyumbang kepada pembangunan tamadun dunia.


* Azura Halid merupakan Munsyi Dewan yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.

** Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
 

Must Watch Video

Advertisement