Skip to main content

Malaysia

Ustaz Mad Kecik, Nor Suhada selamat diijab kabul

Ustaz Muhammad Abdullah, 33, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kecik selamat melangsungkan perkahwinan bersama pasangannya, Nor Suhada Mohd Azam, 26, pada Jumaat. Foto: Facebook Ustaz Muhammad Bin Abdullah - UMA -- SINAR HARIAN
Ustaz Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kecik selamat melangsungkan perkahwinan bersama pasangannya, Nor Suhada Mohd Azam, pada Jumaat. - Foto Facebook Ustaz Muhammad

MARANG: Pendakwah bebas terkenal, Ustaz Muhammad Abdullah, 33, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kecik selamat melangsungkan perkahwinan bersama pasangannya, Nor Suhada Mohd Azam, 26, semalam.

Majlis pernikahan pasangan berkenaan diadakan di kediaman pengantin perempuan di Bukit Payung, di sini, kira-kira jam 10 pagi.

Abangnya, Mohd Faizul Abdullah, 41, berkata, majlis tersebut diadakan secara kecil-kecilan dengan hanya dihadiri oleh ahli keluarga dan kenalan terdekat kedua-dua belah pihak.

Menurutnya, perkenalan antara Muhammad dan pasangannya yang juga merupakan pelajar Madrasah Darul Ansor, Wakaf Tapai di sini diatur oleh guru-guru mereka.

"Selain itu, peranan keluarga juga antara pembuka langkah hingga termeterainya pernikahan antara Ustaz Mad dan pasangan pada hari ini," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Faizul memaklumkan bahawa majlis menyambut menantu bagi sebelah pihak lelaki dijadualkan berlangsung pada 28 Mei depan.

Majlis berkenaan akan diadakan di Madrasah Darul Zahraa, Kampung Dura, Hulu Terengganu, iaitu madrasah yang dibangunkan sendiri oleh Ustaz Mad.

Dalam pada itu, beliau turut mewakili seluruh ahli keluarga menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kesejahteraan perkahwinan pasangan tersebut.

"Pihak keluarga berterima kasih atas doa kepada Ustaz Mad dan pasangan, serta sokongan yang diberikan sebelum ini dalam kerja dakwah yang dilakukan," katanya.

Nama Ustaz Mad Kecik sebelum ini mencuri perhatian dan tular di media sosial kerana pendekatan dakwahnya yang santai serta kelantangannya dalam menyuarakan isu-isu kemanusiaan termasuk perjuangan rakyat Palestin.

Beliau turut menyertai 22 sukarelawan dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) pada tahun lalu di mana kapal yang dinaiki bersama beberapa aktivis lain telah dipintas dan ditahan oleh tentera Israel. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement