KUANTAN: Pengalaman menjadi mangsa jenayah apabila beg sandang mengandungi wang tunai dan komputer riba dicuri antara peristiwa pahit dilalui Jack Voon, 49, sepanjang ekspedisi solo mengelilingi dunia merentasi 32 negara dalam tempoh 736 hari.
Kerana insiden di sebuah negara di Amerika Selatan itu, Jack kehilangan sebahagian besar rakaman video dibuat sepanjang pengembaraannya.
Selain itu, pereka media digital itu berkata, begnya pernah hilang dicuri ketika ditinggalkan di kaunter depan hotel di salah sebuah negara yang dilalui.
“Bukan itu sahaja, saya nyaris kemalangan ketika berada di sebuah negara di Afrika apabila ada individu sengaja meluru dan merebahkan diri ke arah kereta semata-mata untuk menuntut pampasan.
“Itu antara pengalaman pahit dihadapi sepanjang pengembaraan sejauh 46,000 kilometer (km) dengan memandu kereta jenama nasional kedua, Perodua Kenari berusia 20 tahun,” katanya ketika ditemui pada majlis meraikan kejayaannya di Menara Kuantan 188 di sini baru-baru ini.
Jack kini bangga apabila berjaya menamatkan pengembaraan solonya itu secara rasmi 7 Mei lalu sekali gus mencipta nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai rakyat Malaysia pertama mengelilingi dunia dengan kereta buatan tempatan.
“Impian mengelilingi dunia secara solo yang tersimpan sejak kecil ini telah tercapai.
“Dulu masa kecil, cerita mengenai negara-negara luar hanya dilihat melalui kaca televisyen, majalah dan surat khabar sahaja namun kini saya mampu menceritakan pengalaman berada di pelbagai negara di sebahagian dunia,” ujarnya.
Anak kelahiran Sarawak itu memulakan perjalanannya dari perkarangan Menara Kuantan 188 di sini pada 1 Mei 2024 turut menamatkan ekspedisi penjelajahan dunianya itu juga di lokasi sama.
Katanya, mengikut rancangan asal, dia akan mengunjungi lebih 100 negara sepanjang ekspedisi yang dijangka diselesaikan selama tiga tahun.
Bagaimanapun, memandangkan pelbagai kekangan dihadapi, dia mengambil keputusan untuk menamatkan ekspedisi itu lebih awal dengan Chile menjadi negara terakhir sebelum kembali ke tanah air.
Jack mengakui telah membelanjakan kira-kira RM600,000 sepanjang pengembaraan solonya itu.
“Dana tersebut hasil tabungan sendiri selain tajaan daripada beberapa pihak,” ujarnya.
Menceritakan kembali rutin perjalanannya, Jack cukup berdisiplin mengatur jadual perjalanan dengan memandu selama lapan jam atau purata jarak 300km setiap hari.
“Dalam perjalanan, saya tidur di dalam khemah pasang siap atas bumbung kereta di kawasan selamat dan memasak sendiri bagi menjimatkan kos.
“Saya juga mengadakan persembahan menggunakan sape (alat muzik tradisional Sarawak) di beberapa negara dikunjungi bagi mendapatkan dana tambahan di samping mempromosikan seni budaya Malaysia.
Katanya, paling manis dia berpeluang mempromosikan Malaysia selama tiga bulan di China pada 2024 sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China hingga aksi persembahannya mendapat perhatian dan disiarkan beberapa saluran televisyen antarabangsa.
“Saya bersyukur dapat kembali ke tanah air dengan selamat bersama jentera Perodua Kenari kebanggaan yang cukup ‘bersahabat’ sepanjang pengembaraan.
“Terima kasih atas sokongan semua pihak khususnya kerajaan negeri Pahang dan Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man yang membantu menjayakan ekspedisi ini,” ujarnya.
Mengenai rancangannya akan datang, dia bercadang untuk memulakan ekspedisi mengelilingi Malaysia hujung bulan ini bagi berkongsi pengalaman di samping mempromosikan tempat pelancongan menarik di seluruh negara.
“Buat masa ini, saya berehat dahulu sementara menunggu kereta Perodua Kenari dibaiki.
“Perjalanan bagi ekspedisi seterusnya ini juga akan bermula di Pahang sebelum ke negeri lain tanpa menetapkan sebarang tempoh masa untuk misi ini,” katanya. - Sinar Harian