Skip to main content

Malaysia

Busana Orang Ulu curi tumpuan di 75th Lindau Laureate Meeting 2026

Busana Orang Ulu
Dr Nur Liyana berkata busana itu dipilih bagi mengetengahkan keindahan seni dan warisan masyarakat Orang Ulu di pentas antarabangsa. - Gambar Dr Nur Liyana Mohammed Yusof

KUALA LUMPUR: Busana Orang Ulu dari Sarawak yang sarat dengan motif etnik dan manik halus mencuri tumpuan peserta dari seluruh dunia pada acara Bavarian Evening bersempena dengan 75th Lindau Nobel Laureate Meeting 2026 di Lindau, Jerman yang melabuhkan tirainya semalam.

Bavarian Evening ialah majlis yang meraikan budaya Bavaria dan pada masa sama menggalakkan peserta mengenakan pakaian tradisional dari negara masing-masing.

Pensyarah Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Nur Liyana Mohammed Yusof berkata busana itu dipilih bagi mengetengahkan keindahan seni dan warisan masyarakat Orang Ulu di pentas antarabangsa.

“Saya rasa kalau memakai baju kurung mungkin kelihatan agak biasa. Jadi, saya mahu mencuba sesuatu yang berbeza, sesuatu yang belum pernah saya pakai sebelum ini.

“Oleh itu, saya mengambil peluang ini untuk memperkenalkan keindahan seni dan warisan masyarakat Orang Ulu yang mungkin kurang dikenali oleh peserta dari negara lain,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama, di sini hari ini.

Dr Nur Liyana, 34, merupakan antara tiga saintis muda Malaysia yang terpilih mewakili negara ke-75th Lindau Nobel Laureate Meeting 2026 yang berlangsung dari 28 Jun hingga 3 Julai 2026.

Persidangan antarabangsa berprestij itu menghimpunkan 70 Penerima Hadiah Nobel dan 636 saintis muda dari seluruh dunia sebagai platform dialog saintifik, pertukaran ilmu serta pembentukan jaringan penyelidikan global dalam kalangan saintis muda.

Beliau berkata suasana santai pada acara itu turut membuka ruang kepada peserta berkongsi identiti budaya masing-masing sekali gus mengeratkan hubungan antara saintis muda dari pelbagai negara.

“Ramai yang bertanya tentang asal usul pakaian tersebut, makna coraknya dan kepelbagaian etnik di Malaysia. Perkongsian sebegini bukan sahaja memperkenalkan budaya negara, malah membuka ruang kepada pertukaran idea dan pengalaman antara peserta daripada pelbagai latar belakang,” katanya.

Anak jati Wilayah Persekutuan Labuan itu berkata penyertaannya dalam program itu memperlihatkan Lindau Nobel Laureate Meeting bukan sahaja menjadi medan perbincangan sains, malah turut membina persefahaman rentas budaya dalam komuniti saintifik antarabangsa.

Menurut beliau, selain busana Orang Ulu, dua lagi wakil negara iaitu Felow Penyelidik Pascadoktoran Jabatan Fizik Universiti Malaya Dr Pershaanaa K. Manogran, 29, mengenakan pakaian Punjabi manakala Felow Penyelidik Pascadoktoran Institut Samudera dan Sains Bumi Universiti Malaya Dr Ruth Naomi Manuel, 31, pula memakai ceongsam bagi mencerminkan kepelbagaian budaya masyarakat majmuk negara ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement