Skip to main content

Malaysia

Belia digalak jadi ejen sokongan kesihatan mental

Sumber: Chua Qin Peng
Chua Qin Peng berkata, inisiatif tersebut diwujudkan berdasarkan kepercayaan bahawa isu kesihatan mental tidak seharusnya terhenti pada kempen kesedaran semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan serta sokongan komuniti yang lebih bermakna.

KUALA LUMPUR: Golongan belia perlu diperkasakan sebagai ejen sokongan awal dalam isu kesihatan mental, termasuk menjadi individu pertama yang mampu menawarkan bantuan emosi kepada rakan, keluarga dan masyarakat ketika berdepan kesukaran.

Selaras usaha itu, program “Lift But Not Leave” Mental Health Well-Being Advocacy Expo 2026 menghimpunkan golongan belia, pengamal kesihatan mental, organisasi komuniti dan pemimpin masyarakat dalam usaha memperkukuhkan sokongan serta perbincangan berkaitan kesejahteraan mental.

Program anjuran JCI Lead Tropicana yang berlangsung di Universiti Malaya itu memberi fokus kepada usaha memperkasakan belia agar menjadi sebahagian daripada penyelesaian dalam membina komuniti lebih prihatin dan menyokong.

Pengasas dan Pengerusi Penganjur, Chua Qin Peng berkata, inisiatif tersebut diwujudkan berdasarkan kepercayaan bahawa isu kesihatan mental tidak seharusnya terhenti pada kempen kesedaran semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan serta sokongan komuniti yang lebih bermakna.

“Kesihatan mental tidak sepatutnya hanya menjadi topik perbualan selepas sesuatu berlaku. Kita perlu membina budaya di mana masyarakat berasa selamat untuk bercakap, mendapatkan bantuan dan saling menyokong,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan program.

Program itu menampilkan pelbagai pengisian termasuk sesi ucaptama, forum belia, booth advokasi, aktiviti jaringan serta sesi interaktif komuniti yang memfokuskan kepada kesedaran kesihatan mental, pengurangan stigma, sokongan rakan sebaya dan pembangunan belia.

Selain itu, program berkenaan turut menekankan kepentingan pendedahan awal kepada Mental Health First Aid (MHFA) menerusi kerjasama bersama Malaysian Mental Health Association (MMHA), di mana peserta terpilih akan menerima subsidi bagi mengikuti latihan pensijilan tersebut.

Menurut statistik global, lebih 700,000 kematian akibat bunuh diri direkodkan setiap tahun di seluruh dunia, manakala bunuh diri merupakan antara punca utama kematian bagi individu berusia 15 hingga 29 tahun.

Di Malaysia, isu kesihatan mental dalam kalangan belia dan golongan muda juga menunjukkan trend membimbangkan, sekali gus menuntut pengukuhan sistem sokongan komuniti.

Chua berkata, golongan belia tidak seharusnya hanya dilihat sebagai penerima manfaat program, sebaliknya berpotensi menjadi individu pertama yang memberi sokongan emosi kepada orang sekeliling.

“Mereka mungkin menjadi individu pertama yang dihubungi oleh rakan, ahli keluarga, atau masyarakat ketika seseorang sedang melalui kesukaran,” katanya.

Program itu turut mendapat sokongan rakan strategik dan organisasi belia termasuk Majlis Belia Malaysia, Suara Siswa serta UMSU Faculty of Medicine bersama pelbagai rakan komuniti dan sukarelawan.

Turut hadir, Pengarah National Centre of Excellence for Mental Health (NCEMH), Dr Nurashikin Ibrahim bersama pemimpin belia, pengamal kesihatan mental dan wakil komuniti.

Penganjur berharap inisiatif itu dapat membuka lebih banyak ruang perbincangan sihat, memperkukuhkan sistem sokongan masyarakat serta menggalakkan kerjasama strategik dalam memperjuangkan kesejahteraan mental belia di Malaysia.

Must Watch Video

Advertisement