Skip to main content

Teknologi

Roblox perkenal Build, cipta permainan guna AI di telefon pintar

ROBLOX
Menerusi fungsi tersebut, pengguna kini boleh menghasilkan permainan terus melalui peranti pintar tanpa memerlukan pengalaman atau pengetahuan dalam bidang pengaturcaraan. -Foto Amanz

SAN MATEO: Platform permainan global Roblox memperkenalkan ciri baharu dinamakan Build, iaitu fungsi penciptaan permainan berasaskan peranti mudah alih yang dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menerusi fungsi tersebut, pengguna kini boleh menghasilkan permainan terus melalui peranti pintar tanpa memerlukan pengalaman atau pengetahuan dalam bidang pengaturcaraan, lapor Amanz.

Sebagai contoh, apabila pengguna menaip arahan untuk membina permainan pengembaraan santai, sistem AI akan menjana versi asas permainan secara automatik.

Hasil yang dihasilkan merangkumi mekanisme permainan yang berfungsi, reka bentuk persekitaran, watak yang boleh dimainkan serta kesan bunyi yang bersesuaian.

Build menggunakan gabungan model AI terbuka bersama model khas Roblox yang dilatih menggunakan data permainan dan model objek tiga dimensi (3D).

Bagi memudahkan proses pembangunan, ciri itu turut diintegrasikan dengan Roblox Studio versi desktop.

Langkah berkenaan membolehkan pengguna memulakan projek di telefon pintar sebelum meneruskan proses suntingan lebih lanjut di komputer.

Serentak dengan pengenalan ciri berkenaan, Roblox turut melancarkan beberapa sistem sokongan termasuk Sistem Pemeriksa Permainan untuk mengesan pepijat sebelum pelancaran, Pembantu Analitik bagi membantu pencipta memahami data prestasi permainan, serta Modul Eksperimen untuk mencadangkan kaedah ujian penglibatan pemain.

Platform itu turut menyediakan sistem penjanaan automatik yang mampu menghasilkan objek 3D lengkap berdasarkan arahan teks atau imej, sekali gus meningkatkan kecekapan proses pembangunan tanpa perlu membina setiap elemen secara manual.

Bagaimanapun, ujian rintis awal bagi Build hanya akan bermula pada 28 Julai di New Zealand sebelum diperluaskan ke pasaran lain secara berperingkat.

Pengguna seawal usia sembilan tahun dibenarkan mencuba fungsi tersebut.

Namun, permainan yang diterbitkan menerusi sistem berkenaan hanya boleh diakses pengguna berusia 16 tahun ke atas selepas melalui proses semakan keselamatan yang ketat.

 

Must Watch Video

Advertisement