Skip to main content

Teknologi

Microsoft dakwa cip kuantum baharu 1,000 kali lebih stabil

Microsoft's Majorana 2 quantum computing chip, which the company designed with help from AI, in this undated handout photo. Microsoft/Handout via REUTERS THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY. THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED AND PROCESSED BY A THIRD PARTY AND IS DISTRIBUTED BY REUTERS AS RECEIVED.
Cip pengkomputeran kuantum Majorana 2 milik Microsoft, yang direka dengan bantuan kecerdasan buatan (AI). - Foto REUTERS

SAN FRANCISCO: Microsoft mengumumkan pembangunan cip kuantum generasi baharu dikenali sebagai Majorana 2, yang didakwa mempunyai tahap kebolehpercayaan sehingga 1,000 kali lebih baik berbanding versi terdahulu, sekali gus mempercepatkan usaha ke arah pembinaan komputer kuantum yang praktikal.

Menurut syarikat teknologi itu, peningkatan tersebut boleh membuka jalan kepada penggunaan komputer kuantum untuk menyelesaikan masalah komersial dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Pengkomputeran kuantum bergantung kepada unit asas dikenali sebagai qubit, yang berupaya memproses maklumat jauh lebih kompleks berbanding komputer tradisional, tetapi terkenal dengan sifatnya yang sangat rapuh dan mudah terjejas oleh gangguan.

Microsoft berkata qubit dalam cip Majorana 2 mampu bertahan secara purata sehingga 20 saat, berbanding hanya beberapa milisaat dalam cip Majorana 1 sebelum ini.

Peningkatan besar ini disifatkan sebagai lonjakan ketara dalam prestasi, dengan syarikat itu membandingkannya seperti perbezaan antara telefon yang perlu dicas setiap hari dengan telefon yang hanya perlu dicas setiap beberapa tahun.

Naib Presiden Korporat Microsoft Quantum, Zulfi Alam berkata syarikat itu kini semakin yakin untuk menghasilkan mesin kuantum yang benar-benar berguna secara komersial menjelang hujung dekad ini.

“Kami akan mempunyai mesin kuantum menjelang 2029 yang mampu menyelesaikan masalah yang praktikal dan berdaya guna secara komersial,” katanya.

Namun begitu, beliau mengakui cabaran besar masih wujud kerana komputer kuantum berskala besar memerlukan jutaan qubit, sedangkan cip semasa hanya mempunyai sekitar 12 qubit.

Sejak dua dekad lalu, Microsoft memberi tumpuan kepada pendekatan dikenali sebagai pengkomputeran kuantum topologi, yang menggunakan sifat zarah kuasi (quasi-particle) dikenali sebagai Majorana untuk menghasilkan qubit yang lebih stabil.

Teknologi ini memerlukan penciptaan keadaan jirim baharu yang berbeza daripada tiga keadaan biasa, pepejal, cecair dan gas, bagi melindungi data kuantum daripada gangguan persekitaran.

Dalam Majorana 2, Microsoft turut memperkenalkan perubahan bahan, termasuk menggantikan aluminium dengan plumbum sebagai superkonduktor, yang membantu meningkatkan kestabilan qubit.

Walaupun pencapaian itu dilihat sebagai langkah penting, beberapa pakar menegaskan bahawa dakwaan Microsoft masih sukar dinilai sepenuhnya kerana butiran teknikal tidak didedahkan secara terbuka atas alasan komersial.

Profesor fizik dari University of Surrey, Paul Stevenson berkata perkembangan tersebut kelihatan meyakinkan, tetapi bergantung kepada sama ada hasil penyelidikan itu benar-benar memenuhi dakwaan syarikat.

“Microsoft nampaknya telah membuat lonjakan dalam usaha menghasilkan qubit topologi yang berdaya guna,” katanya.

Namun pendekatan Microsoft sebelum ini turut mencetuskan kontroversi, termasuk penarikan balik kertas penyelidikan pada 2018 berkaitan penemuan zarah Majorana, serta kritikan daripada segelintir ahli fizik yang skeptikal terhadap hasil kajian tersebut.

Kemajuan ini berlaku dalam konteks persaingan global sengit antara syarikat teknologi utama untuk membangunkan komputer kuantum yang mampu menyelesaikan masalah yang tidak dapat ditangani oleh komputer konvensional.

Jika berjaya, teknologi ini berpotensi digunakan untuk menangani cabaran besar seperti pembangunan ubat baharu, pengeluaran tenaga yang lebih cekap, keselamatan siber, serta penyelesaian masalah saintifik yang kompleks.

Namun buat masa ini, industri tersebut masih berada pada peringkat awal, dan kejayaan sebenar bergantung kepada keupayaan untuk menghasilkan sistem yang stabil, berskala besar dan bebas ralat.
 

 

Must Watch Video

Advertisement