MOUNTAIN VIEW: Google secara rasmi melancarkan model kecerdasan buatan (AI) terbaharu, Gemini 3.5, bagi menyokong pembangunan ejen AI yang mampu mengendalikan pelbagai tugas kompleks secara lebih meluas.
Pelancaran model itu diumumkan pada persidangan tahunan Google I/O 2026, yang turut memperkenalkan dua varian utama iaitu Gemini 3.5 Flash dan Gemini 3.5 Pro, lapor Amanz.
Varian Gemini 3.5 Flash telah mula diintegrasikan ke dalam aplikasi Gemini serta fungsi carian Google Search bermula hari ini, manakala Gemini 3.5 Pro masih dalam fasa ujian dalaman sebelum dilancarkan kepada umum bulan depan.
Menurut Google, Gemini 3.5 Flash memiliki keupayaan setanding model bersaiz lebih besar tetapi beroperasi sehingga empat kali lebih pantas. Ujian penanda aras turut menunjukkan prestasinya melepasi model terdahulu, Gemini 3.1 Pro.
Model ini direka untuk mengendalikan tugasan seperti pembangunan aplikasi, penyelenggaraan kod, analisis kewangan serta automasi proses berskala besar.
Akses kepada Gemini 3.5 Flash kini tersedia melalui aplikasi Gemini, ciri AI Mode dalam Google Search, API Gemini, Google AI Studio serta persekitaran pembangunan Android Studio.