MOUNTAIN VIEW: Google mengumumkan sistem kecerdasan buatan (AI) terbaharunya Gemini Intelligence hanya akan ditawarkan kepada peranti Android kelas mercu berikutan keperluan spesifikasi perkakasan yang tinggi, lapor Amanz.
Sistem itu, yang dilihat sebagai pesaing kepada Apple Intelligence, memerlukan peranti dengan memori sekurang-kurangnya 12GB RAM serta cip pemprosesan premium bagi membolehkan model Gemini Nano versi terkini dijalankan terus pada peranti.
Antara syarat lain termasuk sokongan kemas kini sistem operasi sehingga lima kali, keupayaan menjalankan ciri keselamatan Protected Kernel-based Virtual Machine (pKVM), serta pematuhan kepada standard tahap perkhidmatan bagi memastikan kestabilan sistem.
Setakat ini, Google dilaporkan menyenaraikan 28 model peranti daripada 10 pengeluar global yang memenuhi piawaian minimum tersebut, termasuk siri Google Pixel 10, Samsung Galaxy S26, Honor Magic 8 Pro serta beberapa model premium daripada OPPO, vivo dan OnePlus.
Ketetapan itu bermakna kebanyakan telefon pintar kelas pertengahan, termasuk peranti mercu yang dilancarkan sebelum 2025, tidak akan menerima sokongan sistem berkenaan.
Walaupun menawarkan pelbagai fungsi kecerdasan seperti pembantu pintar dan pengesanan panggilan penipuan, langkah pengehadan ini dijangka menimbulkan kekecewaan dalam kalangan pengguna Android.
Penganalisis teknologi berkata langkah itu didorong keperluan kuasa pengkomputeran tinggi bagi memproses data peribadi secara terus pada peranti, selain strategi komersial Google yang meletakkan sebahagian ciri premium di bawah pelan langganan Gemini Advanced.
Spesifikasi minimum
Memori & cip: 12GB RAM ke atas dengan cip pemprosesan kelas mercu terkini
Keupayaan AI: Menjalankan Gemini Nano secara terbina pada peranti
Sistem operasi: Serasi dengan Android Virtualization Framework (AVF) dan pKVM
Kemas kini: Sehingga 5 versi Android dan 6 tahun kemas kini keselamatan