Skip to main content

Teknologi

China jalankan kajian reproduksi manusia di angkasa lepas

Sumber: AMANZ
Dalam misi berkenaan, China menghantar model embrio manusia yang dihasilkan daripada sel tunjang (stem cells), bukan embrio sebenar, bagi mengkaji perubahan biologi di persekitaran mikrograviti. -Foto Amanz

BEIJING: China memulakan kajian saintifik bagi menilai keupayaan manusia membiak di angkasa lepas melalui eksperimen kesan mikrograviti terhadap perkembangan embrio.

Projek penyelidikan itu dijalankan menggunakan misi kapal angkasa kargo Tianzhou-10 yang dihantar ke stesen angkasa Tiangong pada 11 Mei lalu, lapor Amanz.

Dalam misi berkenaan, China menghantar model embrio manusia yang dihasilkan daripada sel tunjang (stem cells), bukan embrio sebenar, bagi mengkaji perubahan biologi di persekitaran mikrograviti.

Dua jenis model embrio digunakan, termasuk sampel yang disemai dalam persekitaran menyerupai uterus untuk meniru proses implantasi serta sampel dalam cip mikro cecair bagi mengkaji pembentukan lapisan sel awal.

Dalam eksperimen itu, embrio ditempatkan dalam ruang kultur berasingan dan dibiarkan berkembang selama lima hari sebelum dibekukan.

Sampel kembar turut dikaji di Bumi sebagai kumpulan kawalan bagi tujuan perbandingan.

Tempoh lima hari di angkasa lepas itu bersamaan dengan fasa kritikal awal perkembangan embrio dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan.

Kajian ini bertujuan mengenal pasti risiko jangka panjang termasuk kesan mikrograviti dan radiasi kosmik terhadap perkembangan sel dan kestabilan genetik.

Dapatan eksperimen ini dijangka membantu menyediakan asas saintifik dan garis panduan keselamatan bagi perancangan penerokaan manusia jangka panjang ke Bulan dan Marikh.

Langkah tersebut meletakkan China antara negara terawal menjalankan penyelidikan berkaitan reproduksi di angkasa lepas.

 

Must Watch Video

Advertisement