TAIPEI: Syarikat teknologi global, Acer, secara rasmi melancarkan dua model cermin mata pintar terbaharunya, Acer AR Vision GR0 dan Acer GI0 AI Glasses, bersempena dengan pameran teknologi Computex 2026 di Taiwan.
Antara kedua-dua model tersebut, Acer AR Vision GR0 muncul sebagai varian premium yang menawarkan keupayaan realiti terimbuh (AR), lapor Amanz.
Peranti berwayar ini boleh disambungkan terus ke telefon pintar, komputer riba atau tablet bagi memproses paparan dwi-skrin mikro OLED (satu bagi setiap mata) yang mampu menghasilkan skrin maya sehingga 172 inci pada jarak unjuran kira-kira 20 kaki.
Dari segi visual, AR Vision GR0 menyokong paparan resolusi 1920 × 1080 piksel bagi mod 2D serta resolusi 3840 × 1080 piksel untuk mod 3D.
Cermin mata ini turut dilengkapi kadar segar semula 60Hz, liputan gamut warna DCI-P3, kedalaman warna 24-bit, nisbah kontras 50,000:1 serta tahap kecerahan maksimum sekitar 200 nits.
Dengan berat hanya sekitar 69 gram, peranti ini direka ringan bagi kegunaan jangka panjang. Ia turut menyokong aksesori pelindung cahaya yang boleh ditanggalkan serta kanta magnetik khas untuk pengguna yang berabun.
Sistem perisiannya disahkan serasi untuk beroperasi merentasi platform utama termasuk Android, iOS dan Windows.
Sementara itu, model kedua iaitu Acer GI0 AI Glasses diperkenalkan bagi segmen mampu milik untuk bersaing dengan produk seperti Meta Ray-Ban.
Berbeza dengan model AR, peranti ini menggunakan sambungan tanpa wayar sepenuhnya melalui gabungan Bluetooth dan Wi-Fi ke telefon pintar.
GI0 AI Glasses disokong enjin kecerdasan buatan Google Gemini sebagai pembantu utama, selain dilengkapi pelbagai ciri termasuk kamera 12 megapiksel untuk rakaman gambar dan video, fungsi terjemahan bahasa masa nyata, kapsyen langsung serta rakaman audio digital.
Kesemua kandungan media yang dirakam disimpan dalam storan dalaman berkapasiti 32GB.
Dengan berat sekitar 46 gram, peranti ini turut serasi digunakan bersama peranti Android dan iOS menerusi aplikasi pengurusan Acer AspireSync.
Setakat ini, Acer masih belum mengumumkan tarikh pelancaran pasaran serta harga rasmi bagi kedua-dua peranti tersebut.