Skip to main content

Sukan

Piala Dunia 2026: Kisah Cinderella Cape Verde berakhir, juara bertahan perlukan 120 minit sebelum mara

Argentina's Lionel Messi, right, celebrates with Cristian Romero and others after Cape Verde's Diney Borges (3) scored an own goal during the World Cup round of 32 soccer match in Miami Gardens, Fla., Friday, July 3, 2026. (AP Photo/Rebecca Blackwell)
Aksi pemain Argentina Lionel Messi (kanan), Cristian Romero dan beberapa yang lain meraikan kejayaan ketika perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 antara Argentina dan Cape Verde di Miami Gardens, Florida, 3 Julai 2026. (Foto AP)

ARGENTINA menepati ramalan melayakkan diri ke peringkat seterusnya Piala Dunia 2026, namun memerlukan hingga 120 minit untuk mengesahkan kemenangan ke atas Cape Verde di Miami, sebentar tadi.

Penjaga gol veteran Cape Verde, Josimar Jose Evora Dias, atau dikenali Vozinha menampilkan persembahan cemerlang apabila menafikan beberapa percubaan berbahaya Argentina untuk mengheret kedua-dua pasukan ke masa tambahan selepas tamat 90 minit permainan. 

Penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia, Lionel Messi, terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-29 sebelum Deroy Duarte menewaskan Emiliano Martinez untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada babak kedua.

Memasuki 15 minit pertama masa tambahan, juara bertahan itu melancarkan asakan tanpa henti bagi mencari semula gol pendahuluan.

Bintang Manchester United, Lisandro Martinez, melepaskan rembatan pada susulan situasi sepakan penjuru untuk memberikan kelebihan buat Argentina mendahului 2-1, sekali gus memberi tekanan buat pihak lawan.

Namun, negara dengan antara populasi terkecil dunia itu tidak menunggu lama untuk kembali memberi tamparan hebat buat pasukan nombor satu dunia itu selepas lencongan Sidny Lopes Cabral kembali menyamakan kedudukan 2-2 untuk terus menghidupkan peluang dan angan-angan besar mereka.

Pada minit ke-111, tandukan Cristian Romero menghadiahkan kemenangan penting buat skuad kendalian Lionel Scaloni yang menamatkan cerita fantasi negara ke-64 dunia itu untuk mara ke pusingan 16 terbaik.

Berakhir sudah perjalanan salah satu underdog edisi kali ini tetapi tetap bangga dengan perjuangan selaku debut dalam kancah tertinggi dunia. 
 

Must Watch Video

Advertisement