TIJUANA: Persekutuan Bola Sepak Iran (FFIRI) akan mengemukakan aduan rasmi kepada FIFA berhubung sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas skuad kebangsaan sepanjang Piala Dunia FIFA 2026 di Amerika Utara, lapor Al Jazeera.
Jurucakap persekutuan berkata kekangan tersebut telah menjejaskan perancangan teknikal pasukan, walaupun jadual persiapan diserahkan lebih awal sebelum kejohanan bermula.
Susulan sekatan visa oleh Amerika Syarikat (AS), skuad Iran kini berkampung di Tijuana, Mexico sebagai pangkalan latihan utama.
Di bawah peraturan sedia ada, pemain hanya dibenarkan memasuki AS sehari sebelum perlawanan dan perlu meninggalkan negara itu beberapa jam selepas aksi tamat.
Isu itu memuncak apabila permohonan Iran untuk tiba di Los Angeles dua hari lebih awal bagi perlawanan menentang Belgium ditolak.
Jurucakap tersebut berkata tempoh tambahan itu penting bagi membolehkan pemain menyesuaikan diri dengan perbezaan masa, menjalani latihan akhir serta membuat persediaan taktikal.
Namun, permintaan berkenaan tidak diluluskan oleh pihak berkuasa.
Sebelum ini, kem Iran turut meluahkan rasa tidak puas hati apabila pasukan terpaksa meninggalkan Los Angeles pada malam sama selepas seri 2-2 dengan New Zealand tanpa masa mencukupi untuk pemulihan.
Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa AS mempertahankan pendekatan tersebut.
Pengarah Eksekutif Pasukan Tugas FIFA White House, Andrew Giuliani berkata Iran telah dimaklumkan lebih awal bahawa kemasukan hanya dibenarkan mengikut prosedur “Matchday Minus One”.
Katanya, peraturan sama akan terus diguna pakai bagi perlawanan terakhir Iran menentang Mesir di Seattle pada 26 Jun.
Situasi ini berlaku dalam konteks ketegangan geopolitik antara Tehran dan Washington, yang turut menyebabkan beberapa pegawai dan kakitangan sokongan Iran gagal memperoleh visa untuk memasuki AS.