FOXBOROUGH: Paraguay mencipta antara kejutan terbesar Piala Dunia 2026 apabila menyingkirkan juara dunia empat kali, Jerman, menerusi kemenangan 4-3 dalam penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan dalam aksi pusingan 32 terbaik.
Jose Canale muncul wira Paraguay apabila menyempurnakan sepakan penalti penentuan untuk memastikan kemaraan pasukan Amerika Selatan itu ke pusingan 16 terbaik.
Jerman, yang sebelum ini tidak pernah tewas dalam penentuan penalti di Piala Dunia, menyaksikan Kai Havertz, Nick Woltemade dan Jonathan Tah gagal menyempurnakan tugasan mereka dari titik penalti.
Paraguay terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Julio Enciso pada minit ke-42 apabila beliau menanduk masuk hantaran lintang Matias Galarza untuk meletakkan pasukannya di hadapan sebelum rehat.
Jerman bangkit menyamakan kedudukan sembilan minit selepas babak kedua bermula apabila Havertz menanduk masuk hantaran Florian Wirtz pada minit ke-54
Kedua-dua pasukan gagal mencari gol kemenangan dalam baki masa permainan sebenar dan masa tambahan, meskipun Jerman hampir mendahului pada masa tambahan menerusi tandukan Jonathan Tah.
Namun, gol itu dibatalkan selepas semakan video (VAR) mendapati berlaku kekasaran ke atas penjaga gol Paraguay, Orlando Gill.
Dalam penentuan penalti, penjaga gol Paraguay, Orlando Gill, memainkan peranan penting dengan menyelamatkan beberapa percubaan Jerman sebelum Canale menyempurnakan sepakan kemenangan yang mencetuskan sambutan liar dalam kalangan pemain dan penyokong Paraguay.
Kapten Paraguay, Gustavo Gomez, menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil semangat juang tinggi pasukannya.
“Saya sangat bangga dengan rakan sepasukan dan kumpulan ini. Hari ini kami perlu menunjukkan identiti sebenar Paraguay,” katanya.
Kekalahan itu menambah episod mengecewakan buat Jerman, yang sebelum ini tersingkir di peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2018 dan 2022.
Paraguay akan meneruskan cabaran dalam pusingan 16 terbaik dengan menentang pemenang perlawanan antara Perancis dan Sweden di Philadelphia pada 4 Julai.