Skip to main content

Sukan

Nafuzi Zain kembali bimbing Terengganu FC

Terengganu FC secara rasminya mengumumkan pelantikan Nafuzi Zain sebagai Ketua Jurulatih pasukan bagi menghadapi saingan musim 2026/2027.
Pelantikan Mohd Nafuzi berkuat kuasa bagi tempoh dua tahun bermula Julai 2026 hingga Mei 2028. - Foto FB Terengganu FC

KUALA NERUS: Bekas jurulatih bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan Mohd Nafuzi Mohd Zain atau Nafuzi Zain kembali membimbing Terengganu FC (TFC) bagi menyahut cabaran musim baharu Liga Malaysia 2026/2027.

Pelantikan selaku ketua jurulatih itu diumumkan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) menerusi kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, pelantikan jurulatih berusia 48 tahun berkenaan berkuat kuasa bagi tempoh dua tahun bermula Julai 2026 hingga Mei 2028.

"Kepulangan Nafuzi diibaratkan seperti sirih pulang ke gagang. Pelantikan ini menandakan kembalinya seorang jurulatih yang cukup sinonim dengan TFC.

"Nafuzi bukanlah nama asing dalam keluarga besar TFC kerana pernah mencipta pencapaian baik dengan aura tersendiri. Beliau pernah membimbing pasukan dari 2019 hingga 2022," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, antara pencapaian terbaik Nafuzi ialah membawa TFC muncul naib juara Piala FA dan Liga Super pada musim 2022.

Kepulangan beliau disifatkan satu keputusan tepat pada masanya kerana TFC sedang melalui fasa pembinaan semula pasukan dengan hala tuju yang lebih berfokus serta berdaya saing.

"Sebagai persediaan Nafuzi telah mula mengenal pasti beberapa pemain asing dan tempatan serta barisan kejurulatihan untuk membentuk skuad yang mantap. Dengan pengalaman luas dalam arena bola sepak tempatan dan luar, TFC yakin beliau merupakan individu paling layak untuk memimpin pasukan hitam putih," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement