PHILADELPHIA: Kylian Mbappe meledak dua gol untuk kali kedua dalam kejohanan ini bagi membantu Perancis melangkah selesa ke pusingan 32 terakhir selepas menewaskan Iraq 3-0, dalam perlawanan yang turut terganggu akibat cuaca buruk pada Isnin.
Gol Mbappe terhasil hampir tiga jam berjarak susulan permulaan babak kedua yang tertangguh hampir dua jam akibat ribut petir melanda kawasan tersebut.
“Babak pertama kami baik,” kata pengendali Perancis, Didier Deschamps.
“Pada babak kedua, kami menyambung rentak seperti sebelumnya walaupun bukan mudah susulan gangguan yang berlaku, dan kami berjaya memastikan kemenangan berada dalam genggaman. Itu satu perkara yang sangat positif.”
Mbappe kini mengumpul 16 gol sepanjang penampilan di Piala Dunia, menyamai rekod bekas penyerang Jerman, Miroslav Klose.
Terdahulu pada hari yang sama, Lionel Messi mencipta rekod baharu dengan 18 gol Piala Dunia selepas menjaringkan dua gol ketika Argentina menewaskan Austria 2-0.
Empat jaringan Mbappe dalam edisi kali ini juga meletakkannya hanya satu gol di belakang Messi dalam perebutan Kasut Emas Piala Dunia 2026.
Pemenang Ballon d’Or semasa, Ousmane Dembele, turut mencetak nama sebagai penjaring selepas waktu rehat bagi membantu Perancis, juara dua kali, yang akan berdepan Norway pada Sabtu ini dalam perlawanan penentu juara Kumpulan I.
Norway turut mengutip tiga mata selepas menewaskan Senegal 3-2.
Dembele sebelum ini dikritik susulan persembahan yang dianggap kurang memberangsangkan dalam kemenangan 3-1 ke atas Senegal pada perlawanan pembukaan.
“Tiada isu,” kata Deschamps.
“Ousmane yakin dengan dirinya. Kadang-kala dia mengundang reaksi, tetapi saya menaruh kepercayaan penuh kepadanya. Dia masih menyesuaikan diri kerana peranannya di sini berbeza berbanding di kelab.”
Iraq pula masih berpeluang merebut salah satu daripada lapan slot tempat ketiga terbaik, namun berkemungkinan memerlukan kemenangan ke atas Senegal dalam aksi terakhir kumpulan serta bantuan keputusan lain.
Mereka mungkin terpaksa beraksi tanpa Aymen Hussein, yang menjaringkan gol ketika tewas 4-1 kepada Norway sebelum ini, selepas dikeluarkan seawal minit ke-26 akibat kecederaan.
Detik cemerlang Mbappe
“Anda hanya perlukan satu detik kecemerlangan daripada salah seorang pemain terbaik dunia,” kata Ali Al-Hamadi, pemain yang menggantikan Hussein.
“Selepas itu kami terpaksa masuk ke dalam dan menunggu hampir satu setengah jam. Sukar untuk kembali dengan intensiti sama berdepan pemain kelas dunia seperti ini. Pada akhirnya, kami sekali lagi melakukan terlalu banyak kesilapan,” katanya.
Perancis menguasai permainan sejak awal dengan Mbappe membuka jaringan pada minit ke-14.
Selepas menerima hantaran Michael Olise di sebelah kanan, penyerang itu mengawal bola sebelum melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti, menewaskan penjaga gol Ahmed Basil.
Gangguan cuaca yang panjang sepatutnya memberi ruang Iraq menyusun semula permainan selepas banyak bertahan pada separuh masa pertama.
Namun, kesilapan besar pada minit ke-54 menghadiahkan gol kedua buat Perancis.
Percubaan keluar bola oleh penjaga gol gagal dikawal dengan baik, membolehkan Dembele memanfaatkan situasi itu sebelum mengatur hantaran mudah kepada Mbappe untuk menolak masuk gol kedua.
Dembele kemudian menambah jaringan peribadi 12 minit kemudian selepas menyempurnakan hantaran Olise.
Dengan keputusan hampir pasti, drama utama perlawanan lebih tertumpu kepada keadaan cuaca.
Sejurus pengadil meniup wisel tamat separuh masa pertama ketika ribut mula melanda, hujan semakin lebat memaksa penonton berlindung di kawasan berbumbung stadium.
Pemain hanya kembali ke padang untuk pemanasan badan kira-kira satu jam 40 minit kemudian, sebelum aksi disambung semula selepas petugas stadium berusaha mengeluarkan air bertakung di permukaan padang. - Agensi