FOXBOROUGH, MASSACHUSETTS: England gagal menembusi benteng kukuh Ghana apabila sekadar terikat 0-0 dalam aksi kedua Kumpulan L Piala Dunia pada Selasa.
Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan masih berada pada kedudukan baik untuk mara ke peringkat seterusnya, namun, ia jelas mengecewakan skuad kendalian Thomas Tuchel yang sebelum ini meraih kemenangan 4-2 ke atas Croatia.
Ghana yang mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Panama pada perlawanan pembukaan, mempamerkan pendekatan bertahan sebaik wisel mula ditiup bagi mengekang corak permainan menyerang England.
Dalam keadaan hujan renyai berterusan, The Three Lions menguasai hampir 80 peratus penguasaan bola pada separuh masa pertama, namun hanya mampu mencipta peluang separuh masak apabila pemain Ghana sentiasa mengasak kapten England, Harry Kane dan rakan sepasukan setiap kali mereka berada di kawasan berbahaya.
Tempoh 45 minit pertama menyaksikan tiada satu pun percubaan tepat ke sasaran daripada kedua-dua pasukan, kali pertama situasi itu berlaku dalam mana-mana perlawanan Piala Dunia kali ini.
Tuchel sebelum ini menjangkakan Ghana akan beraksi dengan disiplin tinggi di bawah kendalian Carlos Queiroz, yang kini menyertai Piala Dunia buat kali kelima sebagai jurulatih dan memiliki pengalaman luas dalam bola sepak England ketika berkhidmat sebagai penolong pengurus Manchester United.
Penolong jurulatih England, Anthony Barry berkata, ketika rehat separuh masa bahawa Ghana bertahan “sangat dalam, lebih dalam daripada jangkaan” dan menuntut kesabaran tinggi daripada pemain England.
Tuchel kemudian melakukan beberapa pertukaran dengan memasukkan Bukayo Saka dan Nico O’Reilly pada minit ke-65, diikuti Morgan Rogers serta Eberechi Eze kurang 10 minit kemudian, sebelum turut memperkenalkan Marcus Rashford.
Ghana yang menjaringkan gol di saat akhir ketika menentang Panama, hampir menghukum England melalui serangan balas pantas diketuai Antoine Semenyo dan pemain gantian, Prince Kwabena Adu.
Namun, peluang terbaik perlawanan hadir pada minit ke-86 apabila tandukan O’Reilly terkena palang sebelum Kane gagal menyudahkan bola muntah apabila rembatan susulannya tersasar tinggi.
England terus menggandakan asakan pada minit-minit akhir, tetapi Ghana kekal kental bertahan untuk memastikan keputusan seri tanpa jaringan.
Croatia dan Panama, yang masing-masing belum meraih sebarang mata, dijadual bertemu dalam satu lagi aksi Kumpulan L, lewat Selasa. - Agensi